Bersikap Adil Terhadap Profesion dan Kepakaran yang dimiliki.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran :

 فسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون

“Maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu jika engkau tidak mengetahui”

(Al-Anbiya’ : 7)

 ولو ردوه إلي الرسول وإلى أولى الأمرمنهم لعلمه الذين يستنبطونه منهم

“Dan sekiranya mereka menyerahkan kepada rasulullah dan sahabat diantara mereka, tentulah orang yang ingin mengetahui kebenarannya akan tahu daripada mereka

(taubah : 122)

Realiti semasa menunjukkan bahawa dengan wujudnya platform-platform maya yang begitu mudah dan meluas seperti facebook, youtube dan whatsapp. Isu-isu yang berkaitan hal ehwal agama lebih pantas tersebar dalam lapangan ini berbanding medium-medium yang lain. Ramai golongan dalam masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan latar belakang ingin memberi ulasan, pandangan dan respon terhadap sesuatu isu (khususnya urusan agama Islam). Hal Ini walaupun ada kebaikannya, akan tetapi penapisan oleh pembaca sangat penting dalam menerima dan menolak sesuatu perkara, khususnya hal-hal yang bersangkut paut dengan urusan agama. Perkara ini sangat penting bagi menjamin keaslian sumber penyampai dan penerima.

Menghormati  kepakaran/pengkhususan seseorang dalam lapangan ilmu masing-masing merupakan tatacara dan adab yang terpuji sebagai seorang yang bergelar muslim. Hal ini kerana akal manusia mempunyai had serta batas tertentu. Mustahil bagi seseorang insan untuk menguasai setiap lapangan ilmu. Masyarakat perlu menilai & meneliti sebaiknya, bukan menelan seratus peratus hujah yang diterima secara mutlak.

Nabi SAW bersabda :

  أرحم أمتي أبو بكر، وأشدهم في أمر الله عمر، وأصدقهم حياءعثمان، وأقرؤهم لكتاب الله أبي بن كعب، وأفرضهم زيد بن ثابت، وأعلمهم بالحلال والحرام معاذ بن جبل، ولكل أمة أمين وأمين هذه الأمة أبوعبيدة الجراح  

 “Orang yang paling lemah-lembut dalam kalangan umatku adalah Abu Bakr, dan yang paling tegas dalam urusan agama ialah Umar Al-khattab, dan yang paling pemalu ialah Uthman Al-Affan, dan yang paling arif tentang Al-Quran ialah Ubai Bin Kaab,… dan yang paling tahu tentang urusan halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal, dan yang paling jujur ialah Abu Ubaidah bin Al-Jarrah”

(riwayat Ibnu Hibban)

Diantara garis panduan yang telah ditentukan oleh syarak ialah segala hujah yang dikemukakan mestilah bersandarkan samada nas/dalil Al-Quran, hadis, ijmak ulama atau Qiyas. Mana-mana hujah yang tidak bersumberkan seperti yang disebut diatas boleh dianggap ragu-ragu dan boleh ditolak.

Perumpamaan mudah untuk memahami hal ini, di dalam bidang kedoktoran contohnya, wujud doktor pakar kanak-kanak, pakar sakit puan dan sebagainya. Setiap permasalahan yang timbul adalah lebih utama dan adil untuk diserahkan kepada bidang kepakaran dan pengkhususan masing-masing. Begitu juga untuk asatizah dan alim ulama. Mustahil untuk seseorang ustaz mahir dan arif dalam semua lapangan ilmu agama serta cabang-cabangnya. Memadai untuk seseorang mengulas berkaitan sesuatu isu yang bukan menjadi bidangnya dengan kadarnya yang tertentu, dan selebihnya diserahkan kepada ahlinya.

Jika diteliti situasi ini dengan lebih mendalam, wujud mind set masayarakat kita biasanya, penjenamaan asatizah ini begitu mudah didapati, memadai dengan seseorang membawakan beberapa potongan ayat al-Quran dan hadis serta berpenampilan tertentu mencukupi untuknya digelarkan ustaz. Setiap pandangannya diterima secara mutlak tanpa penelitian. Hal ini sangat berbahaya kerana keaslian intipati dan kandungan agama Islam akan tercemar bahkan bebas di interpret (ditafsirkan). Kesannya, masyarakat menjadi runsing dan celaru.

Masalah realiti hari ini, terutamanya sikap para asatizah yang berasa malu untuk mengatakan “Wallahu’alam, saya tidak tahu…” dalam urusan agama yang dia kurang arif. Bahkan berlaku pada segolongan membuat andaian/ijtihad sendiri tanpa mengikut garis panduan yang telah digariskan syarak. Semua ini demi menjaga populariti dan  kedudukannya semata-mata dalam kalangan masyarakat. Akibatnya masyarakat salah serta keliru atas pendirian yang dikeluarkan olehnya.

Bukan kita melarang dan menafikan peranan para asatizah untuk memberi pandangan serta pendapat bagi sesebuah isu/masalah, akan tetapi perlu diutamakan golongan yang berada pada lapangannya. Tambahan pula sikap masyarakat yang memandang rendah terhadap asatizah yang tidak mampu menjawab dan mengulas sesuatu isu dengan baik antara punca kepada wujudnya masalah ini. Perkara yang menjadi muhasabah bersama-sama adalah masih terlalu kurang bilangan asatizah yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang dan lapangan ilmu.

Pada penelitian saya, semua pihak perlu berperanan, samada golongan asatizah ini perlu jujur dengan disiplin ilmu (bukan berhujah dengan akal semata-mata) dan bijak untuk mengulas sesuatu isu pada kadarnya dan serahkan kepada pihak yang tertutama (iaitu mereka yang berada dalam medan lapangan ilmu tersebut). Masyarakat pula secara umumnya mesti berfikiran terbuka untuk mendengar pencerahan daripada asatizah dan alim ulama yang lain dan bukan taasub dengan guru/sheikh mereka sahaja.

Dengan ini, definisi adil iaitu “meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya” terlaksana.

 

Ustaz M. Faiz Lee Bin Adijoan Lee
Jabatan Hadis, Kuliah Usuluddin Tahun 4,
Ahli Lajnah Tafsir dan Hadis
Universiti Al-Azhar Kaherah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*