Ramadhan Bulan Membangun Kekuatan Umat

Selamat menyambut bulan Ramadhan 1436H

Bulan Ramadhan Mendidik Muslim Yang Kuat

Bulan membangun kekuatan kesatuan Umat Islam

Bulan Ramadhan yang sedang berlangsung merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Pelbagai ganjaran yang dijanjikan oleh Allah sepanjang bulan ini.

Umat Islam seluruh dunia turut bersama-sama melaksanakan ibadah puasa, sama-sama merasai kesusahan yang dihadapi oleh orang miskin dan mereka yang hidup dalam keadaan susah dengan berlapar dan dahaga. Sekaligus mempertautkan lagi ikatan ukhwah islamiah sesama umat islam seluruh tempat.

Begitu juga kefardhuan ibadah zakat fitrah di bulan ini. Umat Islam dianjurkan untuk mengeluarkan sedekah fitrah (zakat) kepada golongan asnaf yang serba kekurangan dan memerlukan bantuan. Hikmahnya sebagai galakan melahirkan rasa kebersamaan.

Di dalam syariat, maqasid syariah (objektif pensyariatan) kepada zakat ialah untuk menyucikan harta-harta, membersihkan jiwa-jiwa dan juga membina hubungan sesama muslim dengan membela golongan asnaf yang layak. Bahkan ianya lebih luas merangkumi pemeliharaan 5 perkara dharuri ( الكليات الخمس ) iaitu pemeliharaan terhadap agama, keturunan, nyawa, aqal dan harta.

Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 2 :

 (  وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ِ)

” maka hendaklah kamu saling membantu dalam urusan kebajikan dan ketaqwaan “

Bulan membangun kekuatan jiwa umat Islam

Seorang pemikir Islam pada abad ke 19, pernah menyebut ketika mentafsir ayat kewajipan puasa di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 :

 (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ)

” wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada mereka yang terdahulu dari kamu, moga-moga kamu bertaqwa “

 

” Kebiasaannya, puasa ini diwajibkan ke atas umat yang difardhukan dengan berjihad di jalan Allah bagi menegakkan agama dan menyampaikannya kepada seluruh manusia.

Puasa adalah medan untuk mendidik diri mempunyai kemahuan yang kuat, medan menghubungkan manusia dengan tuhannya melalui ketaatan dan ketundukan ibadah. Begitu juga ia merupakan medan meningkatkan kekuatan jasad melalui puasa. Kesemunya hasil dorongan mendapatkan keredaan dan kelebihan yang dijanjikan Allah sepanjang Ramadhan ”

Itulah didikan yang diberikan melalui ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Sirah juga telah memperlihatkan berbagai peristiwa perang di dalam Islam berlaku di bulan Ramadhan. Kesemua ini menjadi bukti madrasah ramadhan mendidik para sahabat kuat jiwanya, tubuh fizikalnya serta keazamannya.

Bulan membangun kekuatan hubungan dengan Allah

Banyak hadis-hadis menyebut sekitar kelebihan yang dijanjikan Allah sepanjang bulan Ramadhan. Ianya sebagai galakan kepada umat Islam untuk mempertingkatkan lagi ibadah sepaanjang bulan ini. Justeru melahirkan muslim yang rapat hubungannya dengan Allah dan dikasihi oleh-Nya.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barang siapa yang menghidupkan malam Qadar -dengan ketaatan- karena iman dan mengharap pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu. Dan barang siapa yang berpuasa Ramadhan karena iman dan mengharap pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.” (HR. Bukhari dalam Kitab as-Shiyam)

Masuk ke syurga melalui pintu Royyan. Dari Sahl radhiyallahu’anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

“Sesungguhnya di surga terdapat sebuah pintu yang bernama ar-Royyan. Orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat. Tidak ada seorangpun yang memasukinya selain mereka. Akan ada yang berseru, ‘Manakah orang-orang yang berpuasa?’. Maka bangkitlah mereka. Dan tidak akan memasukinya selain mereka. Apabila mereka telah masuk, maka pintu itu akan ditutup sehingga tidak akan ada lagi yang masuk melewatinya seorang pun selain mereka ”

(HR. Bukhari dalam Kitab as-Shiyam)

Puasa juga dapat menghapuskan dosa. Dari Hudzaifah radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

  فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلَاةُ وَالصِّيَامُ وَالصَّدَقَةُ

Fitnah/dosa pada diri seseorang karena keluarga, harta, atau tetangganya akan terhapus dengan sholat, puasa, dan sedekah.” (HR. Bukhari dalam Kitab as-Shiyam)

Kesemua hadis-hadis ini merupakan galakan dan pendorong bagi seluruh muslim mendekatkan diri kepada Allah sepanjang Bulan Ramadhan yang mulia ini.

Penutup

Semoga Ramadhan kali ini melahirkan kekuatan kepada umat Islam keseluruhan dalam mendepani segala ancaman dan cabaran yang meningkat saban waktu. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa dan amal soleh kita pada Ramadhan kali ini.

 

كل عام وانتم إلى الله أقرب وعلى طاعته أدوم ولفعل الخير أسبق

واطال الله اعماركم في طاعته واسعدكم بدخول جنته وجعلكم من عتقائه في هذا الشهر المبارك

رمضان كريم

 

Oleh : Ustaz Muhammad Iqwan Bin Ahmad Zaidi
Pengerusi MUIS 2015/2016

Be the first to comment

Leave a Reply