Hukum Menggabungkan Niat.

Soalan:

Apakah hukum menggabungkan niat dalam banyak ibadah?

Jawapan :

a) Isu pertama: Syak niat dalam ibadah dan menukar kepada ibadah yang lain. Contoh: Seseorang solat zohor pada waktu asar, kemudian dia sedar ketika sedang solat zohornya bahawa solatnya salah. Adakah dibolehkan pindah niat solatnya ketika itu dari solat zohor kepada solat Asar?

Ittifaq fuqaha bahawa solat zohornya tidak sah kerana bukan pada waktunya dan kemudian jika dia berpindah niat solatnya kepada solat fardu yang lain maka solat kedua-duanya batal. Kerana dia telah memutuskan niat yang pertama dan tidak boleh berpindah niat ibadah kedua ketika niat yang bertama haram.

Adapun jika berpindah niat solat fardu zohor itu kepada solat sunat ketika bersolat, maka rajih di sisi Imam Syafie dibolehkan dan solatnya menjadi solat sunat. Kerana niat fardhu mengandungi niat sunat, solat fardhu pada asalnya haram ketika waktu itu, maka ianya menjadi solat sunat setelah dia berpindah niat dan tidak ada perkara yang membatalkan solat sunat tersebut.

b)Isu kedua: Menggabungkan banyak ibadah dengan satu niat.

Pendapat Imam Hanafi dalam masalah ini terbahagi kepada dua bahagian. Sama ada menggabungkan diantara banyak ibadah pada wasail ibadah (bentuk ibadah) atau pada maqasid ibadah (tujuan ibadah).

Bahagian pertama: Jika seseorang menggabungkan ibadah-ibadah yang sama bentuk ibadahnya dalam satu niat, maka dibenarkan disisi Imam Hanafi. Contoh: seseorang mandi junub pada hari Jumaat untuk solat Jumaat dan mengangkat hadas. Dia mendapat pahala mengangkat hadas dan mandi Jumaat.

Bahagian kedua: Jika seseorang menggabungkan ibadah-ibadah pada maqasid ibadah dengan satu niat. Dalam masalah ini ulama’ telah bahagikan kepada tiga masalah. Gabung diantara ibadah-ibadah fardhu, atau gabung diantara ibadah-ibadah fardhu dan sunat atau gabung diantara ibadah-ibadah sunat.

Masalah pertama: gabung ibadah-ibadah fardhu dalam satu niat. Contoh: Seseorang menggabungkan niat solat fardhu Zohor dan Asar. Ittifaq ulama’ bahawa hukumnya tidak sah.

JIka seseorang berniat puasa qadha’ Ramadan bersama puasa Kafarah, maka ia dikira puasa Qadha’. Jika seseorang berniat bayar zakat bersama kafarah sumpah, maka ia dikira zakat. Dalam masalah seperti ini berlaku dalam dua keadaan, keadaan pertama: Salah satu dari dua ibadah tersebut lebih kuat atau lebih utama maka ia cenderung kepadanya. Contoh: Puasa qadha’ lebih utama dari puasa Kafarah. Keadaan kedua: kedua-dua ibadah sama keutamaannya. Contoh: Puasa kafarah zihar dan puasa kafarah Sumpah. Maka perlu membuat pilihan niat pada keadaan tersebut.

-Masalah kedua: gabung ibadah fardu dan sunat dalam satu niat. Contoh: Seseorang yang solat zohor bersama solat sunat. Di sini ulama’ berselisih pendapat. Pendapat Abu Yusuf, bahawa solat itu dikira fardhu dan batal solat sunatnya. Pendapat di sisi syeikh Muhammad, solat itu dikira solat sunat.

-Masalah ketiga: Menggabung ibadah-ibadah sunat di dalam satu niat. Contoh: Seseorang solat sunat subuh bersama solat sunat tahiyyatul masjid.

Pendapat Imam Suyuti mengatakan bahawa jika seseorang berniat ibadah sunat bersama ibadah sunat yang lain makan dia dapat dua ganjaran. Seperti berpuasa Arafah pada hari Isnin. Maka dibenarkan. Tetapi jika seseorang menggabungkan solat sunat dhuha bersama qadha’ solat sunat Subuh maka ia tidak dibenarkan kerana perkara itu tidak dibenarkan oleh syara’ untuk disekalikan atau digabungkan dalam keadaan tersebut. Tetapi jika solat sunat tahiyyatul masjid bersama solat sunat Zohor dibenarkan oleh syara’ kerana keadaan membenarkan gabungan tersebut.

Pendapat Ibnu Hajar, membenarkan niat puasa fardhu bersama puasa Arafah, Asyura, Tasu’a, 6 hari Syawal, hari-hari putih setiap bulan, isnin dan khamis setiap minggu.

Kesimpulannya, Islam itu mudah dan Allah amat memudahkan hambanya dalam urusan ibadah kepada-NYA. Sebagaimana dalam firmannya:

يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر

Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.

 

Rujukan:

-Fiqh Islamiah Wa Adillatuh, Dr Wahbah Azzuhaili

 

 

Ditulis Oleh:
Ust Ahmad Qatadah bin Ismail
Ahli Lajnah Fiqh dan Fatwa.
Kuliah Syariah Islamiah Tahun 3, 2014/2015
Universiti Al-azhar, Kaherah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*