Apa Selepas Taqwa?

Seperti yang Allah sebutkan dalam ayat 183 surah Al-Baqarah, matlamat perintah puasa adalah untuk memperoleh taqwa. Maka setelah berakhirnya ramadhan, apa pula target kita? What’s our next mission?

Banyak dari kalangan kita kurang menghayati bahagian ini. Apa yang pasti bagi sebahagian kita adalah, mereka telah laksanakan tugas mereka iaitu berpuasa penuh di bulan ramadhan, dan mereka layak untuk bergembira selepas itu. Memang kita dituntut untuk berpuasa penuh, tetapi ia bukan sekadar itu. Bahkan terdapat urusan lebih besar selain sekadar menahan lapar dan dahaga.

Apa yang menyebabkan sebahagian kita melanggar banyak batas agama selepas ramadhan, bermula dari salah faham mereka terhadap bulan ramadhan itu sendiri. Mereka melihat bahawa ramadhan adalah sekadar tempat mengejar sebanyak mungkin pahala, tidak lebih dari itu. Maka hasilnya kita boleh lihat mereka ini bermati-matian beramal di bulan ramadhan, namun sebaik sahaja tamat, mereka tutup buku. Ini silap.

Selain pesta mengejar ganjaran pahala yang maha hebat, ramadhan merupakan medan membentuk jiwa, sebagai ‘kickstart’ untuk menghadapi  11 bulan kemudiannya. Ramadhan bukannya seperti majlis makan buffet, yang mana kita ada masa tertentu untuk makan sehabis daya kita dan berakhir di situ. Akan tetapi ramadhan adalah pasaraya besar yang mana kita mengambil  sebanyak mungkin keperluan kita untuk menempuh waktu selepasnya.

Tugas kita selepas ramadhan adalah hidup dengan ketaqwaan dalam hari-hari kita, walau tanpa ganjaran lipat kali ganda. Istiqamah dengan amalan yang kita dah berjaya ‘initiate’ semangatnya di bulan ramadhan. Dan seperti yang kita lihat setiap tahun, berapa ramai yang tewas selepas ramadhan, termasuk yang menulis ini.

Sungguhpun kita dituntut oleh syara’ untuk bergembira menyambut hari raya, namun tentunya semua itu mesti dengan cara pandang taqwa. Ramai yang sibuk mencari baju baru mahal-mahal dan bergaya untuk hari raya, sedangkan mereka lupa ayat Alllah dalam surah Al-A’raf ayat 26 “..dan pakaian taqwa itulah yang sebaik-baiknya”. Sebelum bergaya dengan baju baru, bergaya dulu dengan taqwa. Kita menzahirkan kegembiraan dengan suluhan taqwa, kerana kita bukannya meraikan kejayaan perut kita dalam menahan lapar, tetapi kita meraikan kejayaan jiwa kita dalam ketundukan padaNya.

Tuntutan islam dalam merayakan hari raya juga menunjukkan kita bahawa ianya lebih besar dari sekadar menyambut kejayaan berlapar. Asal pensyariatan hari raya itu sendiri satu petunjuk besar. Ianya adalah bagi menggantikan perayaan  di zaman jahiliah. Islam juga mengajak untuk berkumpul dan meraikan sesuatu kemenangan, tetapi dengan cara kita sendiri, bukan cara jahiliah. Bukan dengan berpesta tanpa syarie dan sebagainya.

Apa yang dituntut? Kita dituntut untuk memulakan kemenangan kita dengan bertakbir memuji Allah, keluar dari rumah kita dengan pakaian bersih lagi kemas, dan menunaikan solat. Bahkan tiada dalam mana-mana solat selain solat raya yang solatnya didahului dengan takbir seperti solat raya. Ini petunjuk bahawa yang utama dalam perayaan kita, adalah mengangkat kebesaran Allah. Inilah kaedah yang islam ajarkan pada kita, bahawa dalam apa-apa urusan kita, kita berbeza cara kita dengan orang jahiliah. Islam juga menyambut kemenangan, tetapi atas dasar mengagungkan Allah.

Kita juga dituntut untuk melewati jalan yang berbeza ketika pulang dari menunaikan solat raya. Sebahagian ulama’ menghuraikan bahawa hikmah dari tuntutan ini adalah untuk kita bersedekah kepada lebih banyak orang, mengenal masalah penduduk jalan berbeza, menzahirkan keizzahan islam dan sebagainya.  Semua huraian tersebut  memberi petunjuk bahawa islam masih menuntut kita untuk menggandakan ibadah kita sesudah ramadhan. Hati kita masih hidup untuk merancakkan amal dengan taqwa.

Akhir kata, ujian selepas ramadhan adalah untuk memaknai kehidupan kita dengan suluhan taqwa. Untuk kita terus istiqamah dengan amalan dan melangkah lebih kehadapan selepas ramadhan. Bukankah Allah sudah berfirman dalam ayat 197 surah Al-Baqarah:

“..dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa”

Maka itulah misi kita, meneruskan perjalanan dengan bekalan taqwa. WA

 

Ustaz Siddiq Mohd Amin.
Ahli Lajnah Perundangan Islam.
Kuliah Syariah Islamiah Tahun 3 2014/2015,
Universiti Al-Azhar, Kaherah

 

Be the first to comment

Leave a Reply