Aidil Adha: Erti Sebuah Pengorbanan

Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail merupakan kisah yang sudah tentu tidak dapat dipisahkan dengan hari raya ‘Aidul Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Qurban dikalangan masyarakat di Malaysia.

Tidak disangkal lagi bahawa kisah ini merupakan sebuah pengsyariatan penyembelihan binatang korban bagi umat Islam khususnya. Namun disebalik kisah tersebut terdapat sebuah hakikat yang sangat besar dan perlu fahami oleh umat Islam hari sepanjang zaman.

Kisahnya adalah ketika Nabi Ibrahim menginginkan seorang anak.

Keinginan yang sudah tentu luar biasa, dimana ketika itu baginda dan isterinya sudah mencapai usia yang lanjut. Ditambah lagi dengan darjat baginda disisi Tuhannya sebagai Khalil Allah Taala, sudah tentu berbeza dengan manusia lainnya.

 وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا

Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya (ikhlas) kepada Allah, dan dia mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap atas dasar tauhid); Dan (kerana itu) Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.

(An-Nisaa:125)

Menurut Imam Ibnu Kathir, “Khalil” atau “khullah” adalah darjat terakhir dan ia merupakan peringkat tertinggi dalam maqam “mahabbah”(cinta). Dan tidak terdapat padanya melainkan daripada ketaatan Nabi Ibrahim yang suci tanpa berbelah bagi terhadap Tuhannya.”

Beberapa pengiktirafan Allah Taala terhadap Nabi Ibrahim sebagai orang yang taat setia pada setiap perintah Tuhannya.

 “Dan juga Nabi Ibrahim yang memenuhinya dengan sempurna (segala yang diperintahkan kepadanya).” (An-Najmi:37)

“Dan ingatklah ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Ibrahim pun menyempurnakannya” (al-Baqarah:124)

“Sesungguhnya Nabi Ibrahim merupakan “satu umat” (walaupun ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh diatas dasar tauhid, dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang musyrik.”  (Al-Nahl:120)

Maka, Khalil itu adalah cinta yang teristimewa dan tidak mungkin dikongsi oleh orang lain. Ia bukan hubb atau mahabbah, ia adalah khullah.

Begitu juga nabi junjungan Rasulullah SAW. Baginda juga merupakan kholilullah sepertimana sabda baginda ketika khutbah terakhirnya;

 “أيها الناس، فلو كنت متخذا من أهل الأرض خليلا، لاتخذت أبا بكر بن أبي قحافة خليلا، ولكن صاحبكم خليل الله”

“Wahai sekalian manusia, Seandainya aku ingin mengambil penduduk bumi ini sebagai kekasihku, nescaya aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku (khalil), akan tetapi sahabatmu ini (yakni diriku) adalah kekasih Allah”

(Hadith Riwayat Bukhori[3654] & Muslim[2382])

Seorang khalil tidak berkongsi khullah (cinta tertinggi) dengan sesiapa. Justeru kehadiran Nabi Ismail AS sebagai anak yang diminta dan dihajat, cinta Nabi Ibrahim kepada anaknya ini mengundang ujian. Apakah kasih Nabi Ibrahim kepada cahaya matanya telah menjejaskan kasihnya kepada Allah?

Justeru datang perintah Allah supaya menyembelih anaknya tercinta itu. Perintah yang menguji sejauh mana keyakinan serta pengorbanan baginda berikan.

 “فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ”

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab; wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah ayah akan dapati daku dari orang-orang yang bersabar” (as-Saffat:102)

Berdasarkan kata-kata ustaz Syed Qutb dalam tafsirnya;

“Nabi Ibrahim berkata: “wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?.”

“Kata-kata ini seolah-olah baginda telah menyampaikan suatu masalah yang besar kepada anaknya dalam keadaan tenang dan penuh keredhaan serta keyakinan kepada perintah Allah Taala tanpa sebarang persoalan dan keraguan.”

Kesimpulan

Kisah Nabi Ibrahim sinonim dengan pengorbanan.

Namun sebelum pengorbanan, manusia diuji dengan keyakinan dan ketaatan kepada Allah.

Hakikatnya, setiap lafaz takbir serta lailahaillallah di pagi raya itu mengandungi maksud yang sangat mendalam iaitu meletakkan Allah Taala di tempat yang tertinggi dalam kehidupan. Akhirnya perkara ini telah meletakkan para anbiya dan orang-orang soleh di tempat yang tertinggi di dunia dan insya Allah di akhirat sana.

Tekad Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Allah untuk anaknya dikorban membuktikan. Baginda telah dan terus mencintai Allah mengatasi segala-galanya, hatta anak kesayangannya itu sendiri. Dan kejernihan serta ketulenan cinta Nabi Ibrahim kepada Allah itulah yang menjadikan kasih baginda kepada Nabi Ismail agung sebagai kasih seorang bapa kepada anak yang diabadikan dalam ibadah korban.

 

 

Ustaz Halim Bin Ismail
Ahli Lajnah Tafsir dan Hadis,
Kuliah Usuluddin Tahun 2,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*