Menghayati Erti Perpaduan Nadi Transformasi Negara

Tema Maal Hijrah : “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”

“Perpaduan Nadi Transformasi Negara” merupakan tema Maal Hijrah 1437. Pastinya peristiwa penghijrahan Rasul s.a.w kembali menerjah ke minda kita. Hijrahnya Rasul s.a.w bersama para sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah memberi kita pelbagai pengajaran yang amat bernilai. Antaranya ialah mengajarkan kita erti pengorbanan yang besar, iaitu meninggalkan tanah air, harta kekayaan, rumah dan keluarga. Kesetiaan para sahabat pula tidak berbelah bagi dalam mentaati perintah RasulNya.

Antara pengajaran terbesar lain ialah besarnya nilai ketakwaan kekasih Allah. Setelah tibanya Nabi s.a.w dan teman setia baginda Saidina Abu Bakar di gua Tsur, Abu Bakar mendengar derapan langkah-langkah kaki kaum musyrik di sekitar gua sehingga Abu Bakar merasa resah lalu beliau berbisik kepada Nabi s.a.w “Seandainya di antara mereka ada yang melihat ke arah kakinya, nescaya mereka akan melihat kami,” tetapi dijawab oleh Nabi s.a.w “wahai Abu Bakar, jangan kamu kira kita hanya berdua sahaja. Sesungguhnya Allah bersama kita”.

Dr. Hisyam Sakr dalam buku beliau telah menghuraikan mengenai hadith ini secara ringkas. Sesuatu usaha dalam mencapai sesuatu adalah wajib ke atas diri kita dan Allah yang menentukan segalanya. Jikalau kita hanya berpegang kepada usaha ini sahajai, ia adalah merupakan sejenis daripada syirik kepada Allah. Manakala meninggalkan usaha adalah merupakan sejenis maksiat. Sebagai manusia yang lemah sudah tentu kita perlu merasakan keberadaan Allah sentiasa bersama kita dalam setiap situasi.

Menghuraikan lagi definisi hijrah dari pelbagai sudut, mungkin ada yang membincangkan topik ini dari sudut hijrah kejahatan kepada kebaikan. Terdapat juga yang membincangkan hijrah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Ada juga yang membincangkan hijrah dari kesusahan kepada kesenangan. Semua definisi hijrah ini pasti akan memberi nilai pengajaran yang tersendiri.

Sebagai mahasiswa di Mesir ini, keberadaan kita di sini menuntut kepada pengorbanan yang berbentuk sementara dalam meninggalkan keluarga, tanah air dan harta benda. Sudah pasti dengan nilai usaha pengorbanan yang telah kita leburkan itu akan mendorong kita untuk belajar bersungguh-sungguh demi memastikan pulang ke tanah air dengan diiringi kejayaan yang cemerlang.

Membincangkan tema Maal Hijrah pada tahun ini “Perpaduan Nadi Transformasi Negara” dalam kerangka kita sebagai mahasiswa di Mesir adalah seiring dengan seruan ISMA-Mesir iaitu kesepakatan.

“Berbeza persatuan bukan alasan untuk kita tidak bersepakat”.

ISMA-Mesir berusaha keras menyeru perpaduan di kalangan mahasiswa Malaysia di bumi Anbiya’ tanpa mengira atau mengehadkan kepada mana-mana latar belakang persatuan, di atas dasar-dasar kebaikan dan ketaqwaan.
Hal ini kerana kita adalah pewaris pucuk pimpinan di Malaysia pada masa akan datang. Tanggungjawab terpikul dibahu kita untuk kembalikan semula negara kita kepada negara Islam yang sebenar, dengan ini kita dapat merasai bagaimana pengorbanan Nabi s.a.w dalam membangunkan negara Islam. Segala tindakan kita pada hari ini akan mencorakkan perubahan pada masa hadapan. Justeru itu setiap mahasiswa perlu berusaha memainkan peranan masing-masing dan mengenal pasti potensi yang terdapat pada diri setiap individu dalam menyumbang ke arah pembangunan negara Islam yang sebenar.

Melihat kepada cabaran masa kini yang amat dahsyat sedang melanda umat Islam di Malaysia, terdapat pelbagai pertembungan antara hak dan batil. Adakah kita sedar golongan-golongan anti Islam kini sedang giat memadamkan identiti Islam yang sebenar terhadap umat, terutamanya terhadap golongan anak muda iaitu remaja dan belia yang mudah terpengaruh dengan sesuatu agenda. Serangan pemikiran semakin rancak beraksi. Adakah kita masih mampu berdiamkan diri ?

Oleh itu marilah kita menghayati dengan sebenar-benarnya peristiwa hijrah Rasul s.a.w dan para sahabat yang banyak memberi pengajaran kepada kita. Baginda dan para sahabat merupakan rol model kita yang amat tepat dalam membangunkan Malaysia sebagai negara Islam yang sebenar. Justeru itu marilah kita bersama-sama menyemarakkan lagi perbincangan topik hijrah ini bersama rakan-rakan agar kita dapat menghayati erti penghijrahan yang sebenar. Seterusnya membangunkan diri kita sebagai mahasiswa yang beragenda demi masa depan ummah.

Ustazah Siti Khairanie Binti Amran
Tahun 4, Kuliah Syariah Islamiyyah (2015/2016),
Timbalan Pengerusi,
Majlis Ulama ISMA Mesir (MUIS Mesir).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*