Hukum Menyentuh dan Membaca Al-Quran bagi Wanita yang Sedang Haid

Seringkali timbul kekeliruan di kalangan wanita terutamanya bagi penuntut ilmu tentang hukum menyentuh dan membaca al quran ketika sedang haid. Hal ini kerana seringkali terdapat perselisihan pendapat di kalangan para fuqaha’ mengikut pegangan yang difahami masing-masing.

Pada dasarnya,para ulama’ keempat-empat mazhab telah bersepakat bahawa tidak dibenarkan bagi wanita yang dalam keadaan haid untuk menyentuh dan membaca alquran tanpa ada keperluan. Hukum ini bersesuaian dengan firman allah s.w.t di dalam surah al waqi’ah ayat 56:

“لا يمسه إلا المطهرون”

Maksudnya: “tidak ada yang menyentuhnya(al quran) selain hamba-hamba yang disucikan.

Larangan ini juga telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis  riwayat Imam Al-hakim, Imam Ahmad dan Imam Malik:

“لا يمس القرآن إلا طاهر”

Yang bermaksud: tidak disentuh al quran itu melainkan mereka yang di dalam keadaan suci dan bersih.

Bagitu juga hukumnya dengan membaca al quran bagi wanita yang di dalam keuzuran bersandarkan pada dalil yang dinyatakan saidina ‘ali radhiyallahu’anhu:

” كان رسول الله صلى الله عليه وسلم لا يحجبه عن قراءة القرآن شيء إلا الجنابة “

Ertinya: tiadalah yang menghalang rasulullah s.a.w. dari membaca al quran kecuali janabah(yakni dalam keadaan berjunub). Riwayat ahmad, Abu Dawud dan Tirmizi.

Majoriti ulama’ menqiyaskan janabah seperti haid di mana kedua-duanya merupakan hadas besar yang menghalang dari menyentuh dan membaca al-quran.

Namun begitu,sebahagian ulama’berpendapat untuk  membolehkan bagi wanita yang di dalam keadaan haid  membaca al quran dan menyentuhnya menggunakan alas bagi tujuan belajar, mengajar dan bagi mereka yang ingin mengulang hafalannya. Hukum tersebut dilonggarkan kerana dikhuatirkan bagi wanita-wanita yang telah menghafal al-quran dari melupakan hafalannya jika tempoh haidnya terlalu lama dari kebiasaan.

Pendapat di atas telah difatwakan oleh beberapa para ulama’ seperti imam ibnu taimiyah,imam malik,salah satu riwayat Imam Syafi’e rahimahullah dan Imam Ahmad rahimahullah.

Kesimpulannya, setiap wanita berbeza keadaanya dari yang lain.memahami keadaan itu,para ulama’ telah pun mengkaji dan membahas hukum menyentuh dan membaca al quran bagi wanita yang di dalam keadaan haid. Justeru,berpeganglah pada mana-mana pendapat yang bersesuaian dengan keadaan masing-masing selagimana ia seiring dengan kehendak Allah dan rasulnya. Dan tiadalah sesuatu perbezaan itu melainkan ia mendatangkan rahmat dan kemudahan bagi pengamalnya.

 

 Rujukan:

  1. Fiqh Sunnah-syed sabiq
  2. Al fiqhul islami wa adillatuhu-wahbah zuhaili
  3. Fatwa.islamweb.net

 

Ustazah Ainul Farhana Binti Muhammad Idris
Ahli Lajnah Fiqh dan Fatwa
Kulia Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

 

Be the first to comment

Leave a Reply