Tafsir At-Tabari : Muhammad bin Jarir Bin Yazid

Tafsir jami’ al bayan fi ta’wil al-quran atau lebih dikenali dengan tafsir tobari bukanlah kitab yang asing di kalangan penutut ilmu agama walau apa bidang sekalipun, samada syariah dan undang-undang, usuluddin (ilmu wahyu) mahupun bahasa kerana ia merangkumi cakupan ilmu yang sangat luas.

 

Seringkali kita menelaah tafsir ini untuk memahami pandangan-pandangan ulama’ salaf terhadap potongan-potongan ayat al-quran, tetapi jarang sekali kita mengenali peribadi di sebalik tafsir agung ini. Tafsir agung yang berjilid-jilid panjangnya ini telah ditulis orang yang tidak kurang agungnya.

 

Di dalam entri kali ini, kita akan menyingkap kisah peribadi ulung di sebalik tafsir ini, Imam Muhammad bin Jarir at-tobari.

 

Beliau adalah Muhammad bin Jarir Bin Yazid bin Kathir bin Ghalib at-Tobari. Beliau juga dikenali dengan nama Ibnu Jarir at-Tobari atau Abu Ja’far at-Tobari walaupun dia tidak mempunyai anak bernama Jaafar malah beliau tidak berkahwin pun sehingga kewafatannya.

 

Beliau telah dilahirkan di Tabaristan, Iran pada tahun 224H. Ketika itu, wilayah-wilayah islam kebanyakannya berbaiah kepada khilafah abbasiyah. Zaman pemerintahan ini masyhur dengan perkembangan ilmunya yang sangat pesat. Antara ulama’ yang hidup di kurun ini adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam An-nasaie, Imam at-Tarmizi dan Imam Ad-Darimi.

 

Namun abu ja’far lahir ketika khilafah abbasiyah pada hujung fasa kekuatannya dipengaruhi oleh muktazilah iaitu pada tahun 218H-227H dan 227-232H di bawah pemerintahan sultan al-mu’tasim dan al-wathiq dan antara peristiwa yang masyhur ketika itu adalah fitnah penciptaan quran (خلق القران). Tabaristan huga sedikit sebanyak terkesan dengan pergolakan politik ini.

 

Imam at-Tobari sepanjang hidupnya telah digelar dengan berbagai gelaran : al-imam, al-mujtahid, al-mufassir, al-muhaddith, al-hafiz, al-faqih, al-muarrikh, al-allamah, al-lughawi dan al-muqri’. Gelaran-gelaran ini diberikan sesuai dengan kelebihan-kelbihan yang telah Allah kurniakan kepadanya. Tidaklah hairan munculnya peribadi sepertinya di dalam kurun yang terbaik seperti yang dikhabarkan oleh nabi SAW.

خير القرون قرني، ثم الذين يلونهم، ثم الذين يلونهم

Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun selepasnya, kemudian kurun selepasnya.

 

Beliau lahir dari keluarga yang senang, perbelanjaan hariannya ditanggung oleh ayahnya agar beliau dapat menumpukan perhatian menuntut ilmu. Tindakan ayahnya ini disokong oleh beberapa faktor-faktor yang kuat.

 

Antara fakor tersebut adalah beliau telah menghafal al-quran kesemuanya ketika beliau baru sahaja berumur 7 tahun, mengimami solat ketika berumur 8 tahun, dan ketika berumur 9 tahun, beliau sudah menjadi penulis hadith-hadith di sisi ulama’ tempatnya. Selain itu, ayahnya juga pernah bermimpi yang anaknya berada di sisi rasulullah memegang sebuah beg kain yang dipenuhi dengan batu. Seorang pentafsir mimpi telah menafsirkan mimpi itu dengan mengatakan anaknya itu ketika besar akan menjadi seorang ulama’ yang hebat.

 

Berdasarkar faktor tersebut, ayahnya tidak teragak-agak untuk menampung perjalanannya dalam menuntut ilmu. Selepas kematian ayahnya, dia telah meninggalkan sebuah ladang dan hasil dapatan dari ladang itu diberikan kepada imam at-Tobari setiap tahun.

 

Pernah suatu ketika, hasil ladang itu lambat sampai kepadanya, beliau tidak mempunyai sebarang nafkah lain dan beliau sudah sangat lapar, dia terpaksa mengoyakkan beberapa cebisan pakaiannya untuk dijual dan membeli makanan dengan hasil jualannya itu.

 

Beliau telah memulakan permusafiran menuntut ilmu seawal umur 16 tahun. Pembelajaran pada ketika itu menggunakan method mendengar, meriwayat dan menulis. Setelah beliau telah banyak berjumpa dengan ulama’ di wilayahnya, maka beliau memutuskan untuk merantau ke wilayah lain untuk berjumpa dengan ulama’ di sana.

 

Antara destinasi perjalanannya yang terawal adalah Baghdad kerana beliau ingin berjumpa dengan imam ahmad bin hanbal. Tetapi ketika beliau hampir sampai ke Baghdad, beliau telah menerima berita kematian Imam Ahmad. Namun beliau tetap tekad meneruskan perjalanannya menuju Baghdad, Basrah dan Kufah untuk bertemu dengan ulama’ di sana. Antaranya Muhammad bin Bashar, Ismail bin Muhammad As-Sudday, Hannad bin Assariy.

 

Pada tahun 253H, beliau menuju ke Fustat, Mesir, setelah itu ke Sham pada tahun 256H untuk beberapa tempoh, kemudian kembali ke mesir tetapi kali ini beliau ke Kaherah. Pada kedatangannya kali kedua di Mesir, beliau mempelajari fiqh mazhab Syafie dari Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi dan Ismail bin Ibrahim al-Muzani iaitu anak murid Imam Syafie dan antara imam mazhab tersebut. Selain itu beliau juga menuntut dengan pengikut Abdulllah bin Wahab al-Qurasyi al-Fihri iaitu murid Imam Malik bin Anas.

 

Beliau beberapa kali berulang perjalanan dari Tabaristan dan baghdad sehingga akhirnya beliau tinggal di baghdad pada 290H sehingga akhir hayat beliau di sana.

 

Di dalam permusafiran beliau di Mesir, beliau ditemani beberapa teman sepengajiannya iaitu Ibnu Khazimah, Muhammad bin Nasr al-Maruzi dan Muhammad bin Harun al-Ruyani.

 

Suatu ketika mereka sangat lapar dan mereka tidak ada sebarang makanan . Mereka kemudiannya sepakat untuk membuat undian, siapa yang diundi akan keluar dan mencari orang yang boleh memberikan sedikit makanan kepada mereka.

 

Ibnu Khazimah terpilih melalui hasil undian tersebut dan dia meminta izin utk solat istikharah sebentar. Sedang mereka menunggu beliau menghabiskan solatnya, pintu rumah mereka diketuk oleh seseorang lalu mereka membukanya.

 

Orang itu bertanya; “Siapakah di antara kamu Muhammad bin Nasr?” Mereka menjawab; “ini orangnya.” Lalu lelaki itu mengeluarkan sekantung duit berisikan 50 dirham. Dia bertanya lagi; “Siapakah di antara Kanu Muhamad bin Jarir?” Kemudian dia memberikan kepada 50 dinar. Begitu juga kepada al-Ruyani dan Ibnu Khazimah.

 

Lelaki itu memberitahu pemberian ini adalah kerana gabenor wilayah tersebut telah bermimpi di dalam qailulahnya (tidur tengahari) bahawa 4 orang yang bernama Muhammad yang lapar telah menyembunyikan kelaparannya, lalu gabenor itu memerintahkan untuk diberikan duit ini kepada mereka. Dan katanya, jika duit yang diberikan ini sudah habis, utuslah salah seorang dari kalangan kamu untuk mengambil lagi peruntukan itu.

 

Mereka berempat kesemuanya bernama Muhammad, dan mereka adalah Imam pada zaman itu. Muhammad bin Jarir, Muhammad bin Khazimah, Muhammad bin Nasr, dan Muhammad bin Harun al-Ruyani.

 

Ini adalah kelebihan yang Allah telah berikan kepada hamba-hambanya yang tekun berkhidmat untuk mempelajari ilmu agamaNya.

 

Beliau dikenali dental sifat tegas menegakkan kebenaran. Beliau banyak menentang ahli bid’ah dari golongan Jahmiah dan mu’tazilah di dalam penulisannya, Tafsirnya banyak diselitkan hujah-hujah keatas mereka. Bukunya “at-Tabsir fi Ma’alim ad-Din” ditulis until menolak muktazilah khususnya dan ahli-bid’ah lain secara umum.

 

Az-Zahabi menyifatkan beliau seagai seorang yang tidak mempedulikan cacian orang walaupun beliau diganggu dan diserang golongan jahil, yang hasad kepadanya dan golongan atheis. Para ulama’ tidak menyanggah ilmunya dan kezuhudannya terhadap dunia dan qanaah (berasa cukup) terhadapnya kerana beliau sudah cukup dengan apa yang ditinggalkan ayahnya di Tabaristan.

 

Beliau pernah bertanya, jika seseorang itu mengatakan bahawa Abu Bakar dan Umar bukan pemimpin yang telah diberikan petunjuk, apakah dia? Ibnu Solah mejawab, “dia adalah seorang pelaku bid’ah.” Ibnu Jarir mengingkarinya seraya mengatakan, “pelaku bid’ah? Bahkan dia patut dibunuh!” Beliau memaksudkan golongan Syiah Rafidah yang menolak pentauliahan Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah para muslimin.

 

Selain itu beliau juga bersifat zuhud dan wara’. Belau tidak akan menerima hadiah yang beliau tidak mampu membalas setimpal dengannya. Beliau pernah diminta oleh seorang menteri, al-Abbas bin al-Hussein untuk menuliskan tentang fiqh agar dia mudah membacanya. Imam at-tobari lalu menulis “اللطيف من الخفيف في أحكام شرائع الإسلام” iaitu ringkasan bagi kitab fiqhnya “لطيف القول”. Menteri itu berpuas hati dengan ringkasan tersebut dan menghadiahkan kepada 1000 dinar. Beliau menolaknya dan mencadangkan agar ianya dibelanjakan untuk orang yang lebih memerlukan.

 

Peristiwa ini berlaku ketika beliau di dalam umur 20-an, dimana kemewahan dunia ketika itu mempesonakan bagi pemuda di dalam lingkungan umurnya. Tetapi tidak untuk Imam at-Tobari.

 

Ilmu beliau seperti laut yang terbentang luas ini telah beliau terjemahakn kepada penulisan kitab-kitab. Banyaknya penulisan beliau sehingga anak-anak muridnya mengira purata penulisannya daripada beliau baligh sehingga beliau wafat dengan sebanyak 14 mukasurat setiap hari.

 

Imam Khatib al-Baghdadi menaqalkan dari Ali bin Ubaidillah As-Simsimi, beliau mengatakan bahawa Imam at-Tobari berdisplin menulis selama 40 tahun, dan menulis setiap Hari 40 mukasurat, secara jumlahnya seluruh penulisannya lebih dari 580,000 mukasurat.

 

Bilangan ini bukanlah pelik kerana Allah telah memberkati waktu para ulama’ ini dan memanjangkan umur mereka kerana mereka adalah hujah agama ini dan merekalah waris anbiya’ seperti di dalam hadis nabi SAW.

Di dalam penulisan tafsirnya yang ulung, beliau bertanya kepada anak-anak muridnya, “mampu tak kamu menulis 30,000 mukasurat?” mereka menjawab, ia pasti akan memakan sepanjang hayat, lalu dia meringkaskan sehingga ke 3000 mukasurat. Beliau telah mengambil masa 7 tahun untuk melengkapkan tafsir tersebut.

 

Apabila beliau hendak menulis tentang sejarah, beliau bertanya kembali kepada anak-anak muridnya, adakah kamu mampu menulis ehingga 70,000 mukasurat? Anak muridnya menjawab seperti jawapan mereka sebelum ini. Lalu beliau meringkaskan sehinga mencapai 7000 mukasurat.

 

Sebelum beliau menulis tafsir tersebut, beliau telah melakukan solat istikharah selama 3 tahun untuk menulis tafsir tersebut dan dengan izin Allah, tafsir itu telah berjaya dilengkapkan dalam tempoh 7 tahun.

 

Antara penulisannya adalah;

 

  1. جامع البيان في تفسير القران
  2. تاريخ الطبري ((تاريخ الرسل والملوك))
  3. تهذيب الآثار وتفصيل معاني الثابت عن رسول الله من الأخبار
  4. اختلاف الفقهاء
  5. اختيار من أقاويل الفقهاء
  6. أدب النفوس الجيدة والأخلاق النفسية
  7. اداب القضاة
  8. اداب المناسك
  9. بسيط القول في أحكام شرائع الإسلام
  10. التبصير في معالم الدين

 

dan banyak lagi kitab-kitabnya yang lain sehingga mencecah 38 buah kitab.

 

Imam tobari telah wafat di Baghdad pada 26 Syawal 310H, dan kematian beliau ditangisi oleh seluruh masyarakat islam. Imam Khatib al-Baghdadi menyatakan bahawa mat islam mendirikan solat jenazah di kuburnya berterusan siang dan malam berbulan-bulan lamanya.

 

Semoga Allah memberikan taufik agar data mengikuti Jejak Langkah ulama’ agung ini alam kesungguhannya menuntut ilmu, kezuhhudan dan kewarakannya, dan keberaniannya menyatakan kebenaran.

 

 

Rujukan:

  1. الخطيب البغدادي: تاريخ بغداد
  2. الذهبي: سير أعلام النبلاء
  3. عبد الفتاح أبو غدة: قيمة الزمان عند العلماء
  4. عبد الفتاح أبو غدة: العلماء العزاب الذين أثروا العلم على الزواج
  5. علي بن عبد العزيز بن علي الشيل: إمام المفسرين والمحدثين والمؤرخين أبو جعفر محمد بن جرير الطبري

————————————————————————————————————————–

Hikmat 2

Hikmat Bin Mat Esa

Kuliah Syariah Islamiah tahun 3

Universiti Al-Azhar

Be the first to comment

Leave a Reply