Ramadhan Bulan Al-Qur’an

Aku lihat pada kalam ulama’ salafussoleh bahawa mereka mengatakan bulan Ramadhan adalah bulan yang terdapat padanya kemahuan yang kuat. Kemahuan yang membawa kepada kebebasan yang sahih. Ia juga adalah bulan kerohanian yang sempurna yang membawa kepada sifat murah hati dengan perkara-perkara material. Aku pula suka untuk menerangkan bahawa Ramadhan ini adalah bulan tilawah dan bulan Al-Qur’an.

 

Diriwayatkan daripada ibnu Umar bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda:

“Puasa dan Al-Qur’an boleh memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata: wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makanan dan syahawat pada waktu siang, maka berilah syafaat kepadanya. Al-Qur’an berkata: wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada tidur di malam hari maka berilah syafaat kepadanya. Maka Allah memberi syafaat kepada hamba tersebut dengan sebab puasa dan tilawah Al-Quran tersebut.

(Al-Mustadrak Imam Al-Hakim, Musnad Imam Ahmad)

Banyak hadis lain yang telah diriwayatkan kebiasaannya diiringkan Al-Qur’an dengan amalan puasa berbanding dengan ibadah-ibadah yang lain. Kenapa? Adakah kerana ayat Al-Qur’an pertama yang diturunkan adalah pada bulan Ramadhan? Ataupun kerana Rasulullah S.A.W memperbanyakkan tilawah Al-Qur’an pada bulan Ramadhan dan sunnah ini diikuti oleh ummat Muslimin selepasnya? Ataupun kebiasaan ummat Muslimin menghabiskan masa malam mereka dengan membaca Al-Qur’an dan mendengar bacaannya? Ataupun kerana solat qiyam pada bulan Ramadhan, paksinya adalah Al-Quran, maka Al-Quran ibadah pada waktu malam, dan puasa ibadah pada waktu siang?

Boleh jadi segala perkara yang aku sebutkan di atas adalah sebab mengapa Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Tetapi di sana ada satu maksud lain yang memberikan penjelasan kepada jiwa, memberi petunjuk kepada roh dan terbentang di hadapannya perkara yang sangat zahir dan nyata. Bukankah puasa itu mensucikan jiwa, membersihkan roh dan mengangkatnya bertemu kepada penguasa  yang tertinggi sehingga menembusi alam lain? Dan bukankah Al-Qur’an menerbitkan dalam jiwa manusia limpahan kerohanian dan juga membuatkan jiwa sentiasa mengingati penguasa yang tertinggi? Bahkan terbentang di hadapannya segala rahsia makhluk dan ciptaan dalam langit dan bumi? Ia adalah khazanah rahsia pencipta tertinggi dan menjadi hadiah kepada alam yang rendah martabatnya ini.

Ia adalah satu tali Allah yang kukuh, satu bahagian dalam kekuasaanNya dan satu bahagian lagi dalam tangan manusia. Maka jiwa manusia, apabila dihiasi dengan amalan puasa, ia akan melihat Al-Qur’an itu sebagai satu makna yang tertinggi daripada makna-makna lain yang mengangkatnya ke makam yang tertinggi, maka dia dapat mencapai martabat Al-Qur’an, memahami maknanya, mengetahui rahsia-rahsianya dan menjadikannya sebagai lintasan ke arah alam hakikat dan alam cahaya.

Di atas sinaran cahaya yang terbit daripada diri manusia dengan amalan puasa, maka orang yang berpuasa itu dapat melihat hakikat yang teragung yang melimpah daripadanya lautan Al-Qur’an. Oleh sebab itu, Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Oleh sebab itu, ayat pertama dalam Al-Qur’an telah diturunkan di gua Hira’, tempat penyucian jiwa dan pembersihan hati dengan khulwah, ibadah, latihan dan bersendirian di waktu malam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadhan. Oleh sebab itu, puasa dan Al-Qur’an adalah dua amalan yang boleh memberi syafaat kepada manusia pada hari kiamat.

Sesungguhnya pada zaman salfussoleh terdahulu, Al-Qur’an bagi mereka adalah penenang hati, penyejuk mata, serta kehidupan dan roh mereka. Ia juga adalah penerang hati, pemanis mulut, penghias kata-kata serta menjadikan akal fikiran mereka cerdas. Mereka membacanya pada waktu siang dan malam, subuh dan senja dan mereka memahami apa yang mereka bacakan. Ketika mereka memhami, mereka mengamalkan. Ketika mereka mengamalkan, mereka ikhlas dengan amalan itu. Maka Allah menyingkap hijab dalam hati mereka dan membuka kunci-kuncinya lalu mereka dapat mencapai makna sebenar yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an. Lalu mereka berjalan menuju ke arah panduan yang telah ditunjukkan oleh Al-Qur’an yang tidak lain dan tidak bukan ialah kebahagiaan di dunia dan akhirat.

﴿اللهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِىَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللهِ ذَلِكَ هُدَى اللهِ يَهْدِى بِهِ مَن يَّشَاءُ﴾

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain yang berulang-ulang yang menjadikan kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya” (Surah Az-Zumar: ayat 23)

Kemudian setelah berlalu zaman mereka, datang zaman ummat sekarang ini, lalu mereka mempunyai pendirian yang pelik tentang Al-Qur’an dan memandangnya dengan pandangan yang ajaib. Mereka banyak membaca Al-Qur’an, banyak mendengar bacaan Al-Qur’an, memperdengarkannya dalam majlis-majlis, menghidupkan rumah mereka dengan ayat Al-Qur’an, menghiasi majlis perayaan dengan bacaan Al-Qur’an, menghafalnya dalam dada-dada mereka, meletakkannya di dalam poket baju mereka, dan lain-lain perlakuan yang sangat banyak mereka telah lakukan, tiada kurang sedikit pun. Tetapi, apakah masalah mereka ini? Mereka tidak melalui jalan yang telah ditunjukkan Al-Qur’an, tidak menuju ke arah panduan yang telah diajar oleh Al-Qur’an, tidak mengikut suruhan dan larangannya, tidak membezakan antara halal dan haram, tidak terkesan dengan peringatan dan ancaman yang terdapat dalamnya, tidak berhukum dengan hukuman dan batasnya. Seakan-akan Al-Qur’an itu diturunkan kepada orang lain. Seakan-akan Al-Qur’an itu dipertanggungjawabkan ke atas orang lain. Apakah mereka tidak menghayati Al-Qur’an ataupun hati mereka telah terkunci?

Tidakkah engkau merasa ajaib apabila melihat seorang individu yang beriman dengan Al-Qur’an, menjalankan hukum-hakamnya, meyakini bahawa Al-Qur’an adalah perlembagaan Allah yang diturunkan untuk manusia dan sebagai arahan kepada hambaNya dan janji supaya mereka taat setia dengan perlembagaan itu. Kemudian individu ini mendengar firman Allah:

﴿قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِى سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِىَ اللهُ بِأَمْرِهِ وَاللهُ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ﴾

“Katakanlah : Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah:24)

….maka dia jadi buta dengan tujuan asalnya dan leka daripada tuntutan yang sepatutnya, lalu dia menjadikan semua itu lebih dia cintai daripada Allah dan Rasulnya tetapi kemudian selepas itu dia mahu Allah menolong urusan kehidupannya, menghilangkan kesusahannya dan dia merintih kepada Allah pada waktu siang dan malam. Adakah kau lihat dalam situasi ini mereka terkesan atau mengambil manfaat daripada Al-Qur’an?

Tidakkah engkau merasa hairan dengan orang yang Allah berkata kepadanya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأنصَابُ وَالأزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ* إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِى الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنْتُم مُّنتَهُونَ* وَأَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَاحْذَرُوا فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا عَلَى رَسُولِنَا الْبَلاَغُ الْمُبِينُ﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, semuanya adalah kotor dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanya mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti? Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling, maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata”.

…..kemudian setelah mereka membaca ayat ini, mereka mengambil arak sebagai hidangan untuk tetamu mereka dan menjadikan judi sebagai penenang jiwa dan hobi di masa lapang.

 

Dan tidakkah engkau merasa terkejut ketika engkau melihat satu kaum yang diseru oleh Allah dalam ayatnya:

﴿لاَ تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِي اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللهِ أَلاَ إِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak untuk berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu adalah yang Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya”. (Al-Mujadalah: ayat 22)

……kemudian selepas mereka mendengar ayat ini, mereka melampaui batas dengan topeng-topeng palsu yang dusta. Jiwa mereka lemah untuk membezakan antara musuh dan kawan, antara kasih-sayang dan perasaan marah, maka mereka berucap dengan penuh emosi dan terkeliru dalam meletakkan kasih sayang dan sifat marah mereka.

Dan tidakkah engkau merasa sangat terkejut ketika engkau mengetahui bahawa Allah S.W.T telah berkata kepada Muslimin dengan tiga ayat daripada Surah Ma’idah yang mempunyai isi yang sama:

﴿وَمَن لَّمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ﴾

“barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang yang kufur” (Al-Maidah: ayat 44)

﴿وَمَن لَّمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ﴾

“barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang yang zalim” (Al-Maidah: ayat 45)

﴿وَمَن لَّمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾

“barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang yang fasiq” (Al-Maidah: ayat 47)

Kemudian Allah tambah lagi dengan kesimpulan daripada ketiga-tiga ayat ini dan ancaman terhadap sesiapa yang melampaui batas hukum Allah:

﴿أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ﴾

“adakah engkau mengambil hukum jahiliyah tersebut? Dan apakah hukum yang lebih elok daripada hukum Allah untuk kaum yang yakin (terhadap hukum Allah)” (Al-Maidah: ayat 50)

…………..kemudian mereka setelah mendengar kesemua ayat ini, mereka kembali kepada hawa nafsu mereka dan berhukum dengan selain daripada undang-undang yang terdapat dalam kitab Tuhan mereka.

Dan tidakkah engkau merasa sangat ajaib ketika engkau melihat ummah ini diseru oleh Penciptanya dengan firman:

﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا﴾

“berpegang teguhlah dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah” (Ali-Imran: ayat 103)

…..kemudian mereka memberikan respon kepada arahan yang muktamad ini dengan perpecahan dan pertelingkahan serta pembahagian dari segi kumpulan dan parti dan  dari apa jua segi sekalipun, kemudian mereka saling bergaduh antara kumpulan-kumpulan itu dengan cacian dan memberikan gelaran yang buruk antara sesama mereka sedangkan musuh telah menerobos masuk antara mereka.

Apa lagi yang aku perlu katakan kepada kamu? Di hadapanku sekarang adalah kitab Allah S.W.T dan aku bersumpah dengan kitab ini sesungguhnya setiap kali aku membacanya, aku akan terbayang aku melihat ummat pada zaman ini pada satu tempat dan ayat Al-Qur’an ini pada tempat yang berlainan.

Wahai ummat Islam,

Sesungguhnya Al-Qur’an ini adalah pemberi syafaat dan penentu yang benar. Sesiapa yang meletakkannya dihadapan, Al-Qur’an akan memimpinnya ke arah syurga. Barangsiapa yang meletakkannya di belakang, Al-Qur’an akan menolaknya ke dalam neraka. Maka ikutlah segala suruhannya, dirikanlah undang-undangnya, beramallah dengan ajarannya dan jangan biarkan bulan Ramadhan berlalu tanpa ada sedikitpun secebis cahayanya yang terbit dalam jiwa dan kesan daripada penyucian jiwa tersebut. Maka disebabkan cahaya dan kesan itu, terangkatlah daripada kamu hijab kelalaian dan disingkapkan kepada kamu sejumlah pengajaran, maka kamu menjadi orang yang mengetahui dan mengamalkannya. Jika kamu tidak melakukan seperti itu, maka ingatlah hari di mana Rasulullah S.A.W menimbulkan kemarahan kepada kamu ketika baginda berkata:

: ﴿يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا﴾

“wahai tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Qur’an ini sebagai barang yang ditinggalkan” (Al-Furqan: ayat 30)

– IHAB –

Diterjemah Oleh :

Muhammad bin Mohd Hasan
Jabatan Tafsir, Kuliah usuluddin, tahun ke empat
Universiti Al-Azhar
Ahli Majlis Ulama ISMA – Mesir

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*