10 Malam Terakhir Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji hanya pada Allah Tuhan Semesta Alam yang telah menyampaikan kita pada satu bulan yang Allah berikan keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain. Sebentar lagi kita akan memasuki fasa ketiga iaitu fasa 10 malam terakhir di bulan ramadhan yang penuh dengan limpah kurnia dan barakah dari Nya. Tambahan, ia juga di kenali sebagai fasa ‘perlepasan  daripada api neraka’ yang telah di sebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w tentang fasa-fasa bulan ramadhan yang acapkali kita diperdengarkan.

Terdapat banyak keistimewaan pada fasa 10 malam terakhir ini, sehinggakan pada fasa inilah Rasulullah s.a.w meningkatkan lagi ibadah baginda berbanding fasa-fasa sebelumnya. Berdasarkan Hadis Ummul Mukminin ‘Aisyah  r.a mengisahkan tentang Nabi s.a.w pada 10 malam terakhir ramadhan:

“Rasulullah s.a.w apabila memasuki 10 malam terakhir ramadhan, beliau  mengencangkan tali sarungnya(yakni meningkatkan amal ibadah baginda), menghidupkan malam-malamnya dan membangunkan isteri-isteriNya”

Hadis lain:-

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa ketika memasuki 10 Ramadhan terakhir, beliau bersungguh-sungguh dalam ibadah (dengan meninggalkan istri-istrinya), menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan istri-istrinya untuk beribadah.”

 

 Keutamaan 10 hari terakhir bulan ramadhan:

1) Rasulullah s.a.w serius dalam melakukan amal ibadah berbanding hari-hari yang lain. Ibadah di sini tidak terbatas pada satu jenis ibadah tertentu sahaja, namun meliputi semua jenis amal baik solat, tilawah Quran, dzikir, sedeqah dan lain-lain.

 

2) Rasulullah s.a.w membangunkan isteri-isteri baginda untuk turut serta menghidupkan malam dengan amal ibadah. Hal ini kerana semangat besar baginda agar ahli keluargaNya juga dapat meraih keuntungan besar pada waktu-waktu utama tersebut. Sesungguhnya itu merupakan ghanimah yang tidak sewajarnya bagi seorang mukmin berakal untuk melewat-lewatkannya atau membiarkan peluang itu berlalu pergi.

 

3) Rasulullah s.a.w beriktikaf dan memutuskan diri dari pelbagai hal keduniaan agar baginda fokus dalam amal ibadah sehingga merasakan lazatnya beribadah.

 

4) Pada 10 malam terakhir ini berkemungkinan salah satunya adalah malam Lailatul Qadar. Malam yang penuh barakah dan lebih baik daripada seribu bulan.

Ulama-ulama telah berselisih pendapat berkenaan bilakah malam Lailatul Qadar itu berlaku, ulama’ pertama mengatakan bahawa ia berlaku pada salah satu malam di 10 malam terakhir bulan  Ramadhan berdasarkan hadis:-

“Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan.” 

Kemudian ulama’ kedua mengatakan malam Lailatul Qadar berlaku salah satu di malam-malam ganjil di 10 malam terakhir bulan Ramadhan berdasarkan hadis:-

Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”

Dan ada juga ulama’ yang mengatakan malam Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27 Ramadhan berdasarkan hadis:-

“Barangsiapa ingin mencarinya (lailatul qadar), hendaklah ia mencarinya pada malam ke-27”

Hikmah Allah menyembunyikan malam itu supaya hamba-hambanya mencari dengan bersungguh-sungguh malam Laitalul Qadar disetiap malam di bulan Ramadhan. Allah akan memberikan kelebihan malam itu bagi hambanya yang memburu malam itu dengan perbanyakkan melakukan amal ibadah yang ikhlas kepadaNya.

 

Keutamaan Lailatul Qadar:

 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ * لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ * تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ * سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ *

 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadr). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan (Lailatul Qadr) itu? Malam kemuliaan itu (Lailatul Qadr) lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar”. (Al-Qadr: 1-5)

Sesungguhnya (pahala) amalan pada malam yang barakah itu setara dengan pahala amalan yang dikerjakan selama 1000 bulan yang tidak ada padanya Lailatul Qadr. 1000 bulan itu sama dengan 83 tahun lebih. Itulah di antara keutamaan malam yang mulia tersebut. Maka dari itu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berusaha untuk meraihnya, dan beliau bersabda:

 

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيْمَاناًوَاحْتِسَاباً،غُفِرَلَهُ مَاتَقَدَّمُ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa menegakkan shalat pada malam Lailatul Qadr atas dorongan iman dan mengharap balasan (dari Allah), diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu”.

 

Dengan Apakah Menghidupkan 10 Terakhir Ramadhan dan Lailatul Qadr?

Menghidupkan malam-malamnya pada 10 Terakhir di bulan Ramadhan dengan meningkatkan ibadah kepada Allah subhanahu wa ta’ala; shalat tarawih dengan penuh iman dan harapan pahala dari Allah semata, membaca Al-Qur’an dengan berusaha memahami maknanya, membaca buku-buku yang bermanfaat, dan bersungguh-sungguh dalam berdo’a serta memperbanyak dzikrullah.

Di antara bacaan do’a atau dzikir yang paling afdhal untuk dibaca pada malam (yang diperkirakan sebagai Lailatul Qadr) adalah sebagaimana yang ditanyakan Ummul Mukminin ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam : “Wahai Rasulullah jika aku mendapati Lailatul Qadr, do’a apakah yang aku baca pada malam tersebut?

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Bacalah:

 

اللهم إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Dzat Yang Maha Pemberi Maaf, Engkau suka pemberian maaf, maka maafkanlah aku”. (HR At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

 

Maka hendaknya pada malam tersebut memperbanyak do’a, dzikir, dan istighfar. Semoga kita tergolong dikalangan hamba-hamba Allah yang di beri keampunan dan pembebasan dari azab Neraka.

Kejarlah segala kelebihan dan ganjaran dibulan Ramadhan ini yang Allah berikan kepada ummat nabi Muhammad. Kerana ummat-ummat nabi sebelumnya tidak diberikan anugerah oleh Allah kelebihan seperti bulan Ramadhan ini.

Sangatlah rugi bagi manusia yang tidak mahu mengejar kelebihan dan keampunan Allah di bulan ini, oleh kerana dia tertipu dengan sedikitnya amalannya dibulan-bulan sebelumnya. Sesungguhnya manusia pasti melakukan kesalahan dan dosa. Masih ada peluang bagi kita lagi dengan berbaki 10 malam terakhir ini untuk mencari sebanyak-banyak pahala dan keampunanNya. Marilah sama-samalah kita mengejar segala kebaikan yang ada dibulan Ramadhan ini.

Wallhua’lam

Ahmad Qatadah Bin Ismail
Calon MA bidang syariah Amarecan Open University Cairo

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply