Langkah Pertama Menuju Kebahagiaan – Keikhlasan

Ketahuilah bahawa tidak akan diterima amal, tidak akan sempurna kebahagian  serta tidak akan mendapat keberkatan melainkan dengan memperbaiki niat dan keikhlasan.

Apa itu Ikhlas ?  ikhlas bermaksud kita menjadikan niat kita ketika melakukan sesuatu amal soleh hanya semata-mata untuk Allah dan kerana Allah sahaja. kita tidak berkehendak selain daripada Allah, ianya bukan (رِيَاء) menunjuk-nunjuk dan bukan juga (سُمْعَة) mengharapkan pujian manusia. Bukan juga kerana ingin mendekatkan diri kita kepada manusia , ataupun mengharapkan manusia mendekati diri kita.

Ringkasnya ikhlas itu adalah kita melupakan segala pandangan manusia serta pandangan makhluk-makhluk lain dan hati kita berterusan memandang dan menghadap kepada Allah.

Barangsiapa yang mahukan pandangan manusia kepadanya, maka gugurlah pandangan Allah kepadanya.

Allah berfirman :

 (إِنَّاۤ أَنزَلۡنَاۤ إِلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصا لَّهُ ٱلدِّینَ)

Maknanya : Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya. [Az-Zumar 2]

Oleh itu syarat  penerimaan amal disisi Allah itu adalah ikhlas. Amal tersebut juga mestilah mengikut cara pelaksanaan yang betul iaitu mengikut sunnah seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Sesungguhnya sesuatu amal itu apabila telah ikhlas namun caranya tidak benar, maka amal itu akan tertolak. Apabila caranya benar namun tidak ikhlas maka amalan itu juga turut tertolak. Oleh itu, jadilah kamu orang yang benar-benar ikhlas dan lakukanlah amal dengan cara yang  benar.

Seringkali kita melihat bahawa ramai manusia lebih suka untuk menzahirkan ibadahnya. Namun bagaimana  keadaan hati nya ? adakah ikhlas? Ketahuilah bahawa perkara yang paling cepat berbolak balik adalah hati. Sesaat kita ikhlas , namu sesaat selepas itu boleh jadi keikhlasan tersebut musnah dek kerana muncul di hati kita perasaan sum’ah (mahu di puji oleh manusia). Pada asalnya amal tersebut kita niatkan untuk Allah semata-mata , namun beberapa saat sahaja, perbuatan itu bertukar niat, kerana kita lakukan untuk mendapatkan pujian manusia.
Ketahuilah bahawa Allah itu maha kaya (غَنِيٌّ حَمِيْدٌ), jikalau kita melakukan ibadah dengan tidak ikhlas, maka bagi Allah tidak ada kerugian. Sedikit pun tidak mengurangkan apa yang ada disisiNya. Namun kerugian yang sebenar adalah pada diri kita, kerana amal tersebut tidak diterima, serta diri kita tidak mendapat manfaat yang baik daripada amalan tersebut.

Oleh itu ikhlaskan niat kita dalam semua bentuk amalan, sama ada amalan yang khusus mahupun amalan yang umum.

Ingat lah setiap kali solat, kita selalu membaca ayat:

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِی وَنُسُكِی وَمَحۡیَایَ وَمَمَاتِی لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ * لَا شَرِیكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِینَ

Maknanya : Katakanlah “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”. [Al-An’am 162,163]

Ayat ini menunjukkan bahawa  kita menyerahkan segala kehidupan kita hanya kepada Allah Taala.

Sepatutnya setiap kali kita membaca ayat tersebut, kita akan teringat akan persoalan keikhlasan kita, adakah hati kita jujur dengan ungkapan yang kita ucapkan itu ataupun sebaliknya? Maka ianya boleh menjadi peringatan buat kita untuk sentiasa memperbaharui niat kita. Sehingga akhirnya kita benar-benar menjadikan seluruh kehidupan kita semata-samata untuk Allah Taala.

Pernah seorang sahabat nabi SAW bertanya kepada baginda SAW :

أَرَأَيْتَ رَجُلًا غَزَا يَلْتَمِسُ الْأَجْرَ وَالذِّكْرَ مَالَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ فَأَعَادَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَقُولُ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبَلُ مِنْ الْعَمَلِ إِلَّا مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ

Maknanya: bagaimana pendapat anda mengenai seseorang yang berjihad mengharapkan upah dan sanjungan, apakah yang ia peroleh? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ia tidak mendapatkan apa-apa, ” lalu ia mengulanginya tiga kali, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: “Ia tidak mendapatkan apa-apa”. Kemudian beliau bersabda: ” Allah tidak menerima amalan kecuali jika dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan wajahNya.” HR An-Nasa’i

Sekali pun dalam berjihad, yang mana ianya suatu amalan yang mulia, namun jika tidak disertakan niat yang ikhlas, maka ia tidak mendapat  sesuatu pun, seperti yang dijawab oleh Baginda SAW.

Apakah kesan menjadi orang yang Ikhlas ?

Banyak firman Allah Taala menyebut mengenai sifat-sifat orang yang ikhlas serta ganjaran yang Allah Taala kurniakan kepada mereka.

Antaranya, Ikhlas adalah jalan menuju ke syurga Allah. Allah Taala berfirman :

(إِنَّكُمۡ لَذَاۤىِٕقُوا۟ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡأَلِیمِ ۝  وَمَا تُجۡزَوۡنَ إِلَّا مَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ۝  إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلۡمُخۡلَصِینَ ۝  أُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ رِزۡقٌ مَّعۡلُوم ۝  فَوَاكِهُ وَهُم مُّكۡرَمُونَ ۝  فِی جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِیمِ)

Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya.* Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan;*Kecuali hamba-hamba Allah yang Ikhlas (yang dibersihkan dari sebarang syirik),* Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, *Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan,* Di dalam syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat. [Surah As-Saaffat 38 – 43]

Lagi ! Allah Taala mengangkat kedudukan orang yang ikhlas di sisiNya. Sabda nabi Muhammad S.A.W:

إِنَّكَ لَنْ تُخَلَّفَ فَتَعْمَلَ عَمَلًا تَبْتَغِي بِهِ وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا ازْدَدْتَ بِهِ دَرَجَةً وَرِفْعَةً…

Maksudnya:  “Tidaklah sekali-kali engkau diberi umur panjang lalu kamu beramal soleh dengan tujuan untuk mencari reda Allah melainkan akan menambahkan darjat dan kemuliaanmu dengan amal tersebut. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Semakin banyak amalan yang kita lakukan dengan niat yang benar-benar ikhlas, semakin tinggi darjat kita disisi Allah Taala.

Lagi ! hamba-hamba Allah yang ikhlas akan terselamat daripada gangguan, hasutan dan tipu daya syaitan. Allah Taala berfirman :

(قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغۡوِیَنَّهُمۡ أَجۡمَعِینَ ۝  إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِینَ)

Maknanya: Iblis berkata ” Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya,*  Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang Ikhlas (yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan) “. [Surah Sad 82 – 83]

Lagi ! Orang yang ikhlas akan sentiasa mendapat perlindungan allah daripada ditimpa perkara yang buruk kepadanya. Firman Allah Taala ketika menceritakan perihal Nabi Yusuf AS:

( كَذَلِكَ لِنَصۡرِفَ عَنۡهُ ٱلسُّوۤءَ وَٱلۡفَحۡشَاۤءَۚ إِنَّهُۥ مِنۡ عِبَادِنَا ٱلۡمُخۡلَصِینَ)

Maknanya: Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya yusuf itu dari hamba-hamba Kami yang Ikhlas (yang dibersihkan dari segala dosa). [Surah Yusuf 24]

Lagi! kesan orang ikhlas dalam beramal adalah dia mampu istiqamah dengan amal tersebut, kerana tidak lah dia melakukan amalan tersebut melainkan untuk Allah semata-mata. Kalaulah dia lakukan kerana manusia, sudah pasti amalannya itu tidak kekal, kerana perbuatannya itu hanyalah sebuah lakonan. Apabila dia berada di hadapan mata manusia maka dia beramal, namun apabila dia berada di belakang mata manusia, maka  dia tidak beramal.

Lagi ! kesan niat ikhlas ketika beramal, mampu membesarkan pahala sekali pun amalan itu dilihat kecil di mata manusia. Oleh itu biarlah amalan kita sedikit, namun disertakan padanya dengan niat yang ikhlas. Kerana keadaan Itu lebih baik daripada amalan kita yang banyak, namun tidak disertakan padanya niat yang ikhlas kerana sia-sia sahaja amalan tersebut.

Lagi! Ikhlas ini merupakan ubat dan penawar bagi hati kita daripada ditimpa penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, iri hati, marah , dendam dan lain-lain. Sabda nabi Muhammad S.A.W:

ثَلَاثٌ لَا يَغِلُّ عَلَيْهِمْ قَلْبُ الْمُؤْمِنِ إِخْلَاصُ الْعَمَلِ وَالنَّصِيحَةُ لِوَلِيِّ الْأَمْرِ وَلُزُومُ الْجَمَاعَةِ

Maknanya: Tiga perkara yang seseorang itu tidak akan iri terhadapnya: hati seorang mukmin yang ikhlas dalam beramal, memberi nasihat kepada pemimpin dan melazimi jama’ah. (H.R. Ahmad )

Jadi, apakah lagi nikmat yang kita mahukan apabila kita diselamatkan oleh Allah daripada penyakit-penyakit  hati dan diselamatkan daripada gangguan, hasutan dan tipu daya syaitan dan diselamatkan daripada perkara-perkara yang buruk ? bahkan kita diberi ganjaran yang besar, serta kedudukan kita diangkat di sisi Allah dan Allah memandu kita menuju ke jalan syurga-Nya yang penuh dengan nikmat ? Bukankah itu suatu kebahagiaan ? alangkah beruntung dan bahagianya orang-orang yang ikhlas.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memulakan langkah menuju Allah dengan membetulkan niat agar kita sentiasa ikhlas dalam setiap amalan kita dan melatih jiwa kita untuk menolak segala kepentingan duniawi.

Wallahu’alam.

=======================================

Mohd Qutaibah B.  Ismail
Pengerusi MUIS sesi 2019/2020
Pelajar Master Kuliah Darul Ulum

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*