Zaman Pemuda Dan Masa Lapang

 

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam keatas nabi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W..

Waktu adalah sesuatu yang amat berharga di sisi seorang muslim, setiap masa yang berlalu tidak akan kembali lagi, dan umur yang Allah telah takdirkan kepada setiap hambanya wajib dimanfaatkan pada perkara-perkara yang memberi manfaat dunia dan akhirat.

Kita boleh lihat di dalam Al-Quran,bagaimana Allah taala telah bersumpah dengan waktu dan masa, seperti (وَٱلۡعَصۡرِ) demi masa ( وَٱلۡفَجۡرِ) demi waktu fajar ( وَٱلضُّحَىٰ) demi waktu dhuha (وٱلنَّهَارِ) demi waktu siang (وَٱلَّیۡلِ) demi waktu malam. Bahkan Allah berhak bersumpah dengan apa sahaja mengikut kehendaknya. Hal ini menunjukkan bahawa waktu itu adalah sesuatu yang amat penting dan perlu dititikberatkan oleh manusia, khususnya orang muslim.

Hari ,umur dan waktu tidak pernah berhenti  daripada berjalan, dan akan terus berjalan sehingga tiba pada waktu yang Allah tentukan untuknya berakhir. Maka wajib ke atas orang muslim untuk dia melaburkan waktu mereka kepada perkara-perkara yang bermanfaat dunia dan akhirat. Jangan dibiarkan masa itu berjalan tanpa faedah.

Masalah masa lapang dalam kalangan pemuda dan pemudi merupakan suatu masalah yang cukup besar, ianya nya berpunca daripada waktu yang berlebihan dan kurang  tanggungjawab yang dipikul di bahu mereka. Pada masa yang sama, mereka mempunyai tenaga yang banyak, tubuh badan yang sihat dan cergas. Namun tidak dimanfaatkan dengan perkara yang berfaedah. Bahkan mereka lebih memilih untuk berfoya-foya, bermain Game dan bersuka-ria bersama kawan-kawan. Pada hal masa muda itu merupakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Sabda nabi S.A.W :

“لَا تَزُولُ قَدَمُ ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَ أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ”

Yang bermaksud : “Kaki Anak Adam tidak akan berganjak pada hari Kiamat dari sisi Tuhannya sehingga ditanya tentang lima perkara; tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia pergunakan, tentang hartanya dari mana dia peroleh dan ke mana dia infakkan dan tentang apa yang telah dia lakukan dengan ilmunya.” Riwayat At-Tirmizi.

Orang-orang yang mengamati hadis ini, mereka akan mendapati bahawa Nabi Muhammad SAW  amat menekankan kepada pemuda untuk menjaga masa muda mereka daripada disia-siakan kerana  ianya adalah satu marhalah dalam kehidupan manusia. Waktu muda itu adalah waktu keemasan, dan dikatakan bahawa waktu muda ini adalah suatu marhalah kekuatan yang berada di antara dua marhalah kelemahan, iaitu (waktu budak dan waktu tua). Oleh itu beruntung bagi mereka yang menggunakan masa mudanya kepada perkara yang baik dan bermanfaat, kerana di waktu tua mereka tidak akan memperolehi manfaat yang sama seperti di waktu muda.

Tidak syak lagi bahawa waktu lapang yang dibiarkan tanpa diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat akan membawa kepada banyak kemudharatan. Di antara kemudharatan tersebut  adalah manusia akan berjalan tanpa hala tuju yang jelas, hidupnya kosong tanpa ada makna, sehingga tidak ada sesuatu yang ingin mereka lakukan  dan akhirnya mereka memilih untuk berehat dan bermalas-malasan.

Selain itu, waktu kosong ini akan memberi peluang kepada manusia untuk melakukan maksiat, sampai ke satu tahap manusia akan merasa bosan dan putus asa dalam kehidupannya . Hal ini kerana, mereka merasakan mereka sudah jauh terlanjur dan tidak akan dapat kembali ke jalan yang asal.

Orang-orang yang berada dalam masalah  masa lapang yang tidak diisi dengan perkara yang berfaedah adalah mereka yang tidak mempunyai cita-cita yang besar dalam kehidupanya, mereka tidak mempunyai kesedaran terhadap tujuan hidup dan tidak jelas hala tuju mereka. Inilah perkara yang membimbangkan, dan mereka perlu  menghindarinya dari awal sebelum perkara tersebut semakin melarat. Hal ini boleh dirawat dengan mereka menerima didikan dan tarbiah yang benar seperti yang dikehendaki oleh agama islam.

Pemuda-pemuda yang kita harapkan dan kita dambakan adalah seperti pemuda-pemuda di zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka telah menjadi pengikut dan pendukung  risalah nabi tatkala dakwah sampai kepada mereka. Mereka sentiasa mempersiapkan diri dan bersiap siaga untuk mempertahankan agama daripada segala ancaman musuh apabila Nabi Muhammad SAW menyeru mereka kepada perkara tersebut dan sesudah wafatnya Nabi SAW, mereka tetap terus menyebarkan risalah baginda hingga sampai ke seluruh pelusuk dunia. Hasilnya, risalah itu telah sampai kepada kita sekarang.

Mereka para pemuda dibentuk dan ditarbiah oleh Nabi Muhammad SAW melalui acuan Al-Quran dan As-sunnah. Kita dapati ramai sahabat Baginda SAW adalah seorang pemuda. Tatkala wahyu pertama diturunkan kepada baginda ketika berumur 40 tahun, pada waktu itu Abu Bakar berumur 30 an, dan Umar R.A. pula memeluk islam ketika umurnya 27 tahun. Usman b. Affan lebih muda daripada baginda. Manakala Ali R.A adalah yang termuda dalam kalangan para sahabat. Begitu juga Abdullah bin mas’ud, Abdurrahman bin Auf, Bilal bin rabah,Mus’ab bi Umair dan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus lagi dari kalangan para sahabat R.A. semuanya adalah pemuda.

Ketahuilah bahawa antara faktor kejatuhan kerajaan Rum dan Parsi adalah melalui tangan pemuda, begitu juga tunduknya negeri syam Mesir, Iraq, dan utara Afrika kepada keadilan islam juga melalui tangan pemuda, semuanya sempurna dalam tempoh 35 tahun di zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rashidin. Semuanya tidak akan tercapai kecuali dengan keazaman, pengorbanan dan jihad para pemuda.Lihatlah bagaimana tarbiah dan pembinaan Nabi SAW terhadap para sahabat bagi menghadapi kehidupan. Dalam menyediakan diri pemuda yang sentiasa istiqamah diatas manhaj islam, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَعْجَبُ مِنْ الشَّابِّ لَيْسَتْ لَهُ صَبْوَةٌ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah sangat takjub terhadap pemuda yang tidak ada baginya semasa waktu mudanya sifat sobwah (kebudak-budakan) . Riwayat Ahmad.

Pemuda tersebut adalah pemuda yang seawal umur mudanya dapat memelihara hati daripada cenderung kepada syahwat dan dia mampu menjauhkan diri daripada maksiat. Dia juga sentiasa taat dan tekun beribadat kepada Allah SWT.  Pemuda seperti inilah pemuda yang Allah Taala amat takjub kepadanya  kerana kebiasaannya jiwa pemuda lebih cenderung kepada syahwat.

Sabda baginda lagi :

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ

Maksudnya : tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di hari yang tiada pelindungan kecuali perlindunganNya…. (salah satunya) pemuda yang hidup di dalam keadaan memperhambakan diri kepada Allah Taala.

Dalam menyeru pemuda supaya mengambil segala kesempatan untuk membentuk peribadi mereka dari aspek rohani, jiwa, jasmani, mental , dan akhlak, Baginda SAW bersabda:

” اغتنم خمسا قبل خمس شبابك قبل هرمك وصحتك قبل سقمك وغناءك قبل فقرك وفراغك قبل شغلك وحياتك قبل موت “

Maksudnya: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, masa mudamu sebelum tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum miskinmu, masa lapangmu sebelum sibukmu, dan hidupmu sebelum matimu. Riwayat hakim

Dalam memuhasabah tanggungjawab pemuda di hadapan Allah SWT, Nabi SAW berpesan:

“لَا تَزُولُ قَدَمُ ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَ أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ”

Maksudnya: “Kaki Anak Adam tidak akan berganjak pada hari Kiamat dari sisi Tuhannya sehingga ditanya tentang lima perkara; tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia pergunakan, tentang hartanya dari mana dia peroleh dan kemana dia infakkan dan tentang apa yang telah dia lakukan dengan ilmunya.” Riwayat At-Tirmizi.

Dalam memelihara jiwa pemuda daripada terpesong, terseleweng, dan menjaga kesucian mereka dengan berkawin, Sabda Nabi SAW :

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: Wahai para pemuda, sesiapa dari kalangan kamu yang mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah sesungguhnya menikah dapat mencegah dari melihat sesuatu yang terlarang dan dapat membentengi faraj (kemaluan), dan barangsiapa yang belum mampu maka berpuasalah karena sesungguhnya puasa itu adalah penawar/penekan nafsu syahwat. Riwayat Muslim.

Itulah asas-asas penting kepada pembinaan peribadi seorang pemuda. Tidak syak lagi bahawa matlamat daripada pembinaan dan persediaan ini adalah supaya pemuda terbentuk dengan pembentukan yang sempurna dari aspek rohani, akhlak , jasmani dan jiwa.

Begitulah pemuda yang kita harapkan, mereka  kekal sebagai seorang yang sihat, teguh, beriman, berjihad, menyampaikan risalah, menunaikan amanah dan bekerja untuk islam, sehingga akhirnya Allah mematikan mereka dalam keadaan yang mulia dan sebagai seorang syuhada.

Oleh itu, ingatlah bahawa masa muda kita akan sentiasa berjalan dan terus berjalan, ianya tidak akan berhenti dan tidak dapat dikembalikan. Ambillah kesempatan di waktu muda ini untuk kita mengisinya dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk dunia dan akhirat, mempersiapkan diri sebaik-baiknya, jangan biarkan masa berlalu dengan perkara  yang melalaikan lagi merugikan. Jadilah kita seperti para pemuda sahabat nabi S.A.W..

Janganlah kita mudah terperdaya dengan kemajuan yang canggih dan gajet-gajet yang ada sehingga banyak masa kita  dihabiskan kepadanya. Jadilah kita jiwa yang berdisiplin serta bersyukur di atas semua nikmat yang Allah Taala berikan, gunakanlah ia sekadar keperluan. Letakkan dunia ditangan dan bukan dihati kita.

Khusus kepada para pelajar dan penuntut ilmu, ketahuilah bahawa mereka juga dituntut untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya, dan mengamalkannya serta mengajarkannya kepada orang lain. Isilah masa sebaiknya dengan menghafal ilmu, menalaah kitab-kitab dan menghadiri kelas-kelas untuk mempelajari ilmu. Waktumu amat berharga. Keculasanmu tehadap masa akan di pertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak.

Wallahu’alam

 

===================================

Mohd Qutaibah B.  Ismail
Pengerusi MUIS sesi 2019/2020
Pelajar Master Kuliah Darul Ulum
Universiti Al-Kaherah

Be the first to comment

Leave a Reply