Demi Masa!

“ [1] Demi Masa! – [2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Al-Asr.
Surah yang ke-103 di dalam turutan Mushaf Uthmani (baca : Al-Quran). Umum mengetahui bahawa surah ini mempunyai ayat yang pendek dan ringkas iaitu 3 baris sahaja, namun hakikat yang terkandung di dalam surah ini sangat besar untuk dijadikan pengajaran dan pedoman seorang mukmin dalam perlumbaan kehidupan. Panduan yang cukup besar sehingga Imam As-Syafi’e rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya ia adalah sebuah surah yang jika tidak diturunkan surah selainnya, sudah memadai bagi umat manusia (sebagai panduan hidup)”

Sayyid Qutb rahimahullah malah menyebut:

“Surah ini memaparkan manhaj(jalan) yang sempurna untuk kehidupan manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam. Ia telah meletakkan sebuah perlembagaan(rujukan) Islami di dalam beberapa baris ayat yang ringkas serta menerangkan sifat-sifat umat islam dari segi hakikat dan tugas mereka.”

Persoalannya, apakah hakikat & tugas tersebut?

Sebuah hakikat yang gagal difahami

Melalui perkembangan manusia di setiap kurun dan zaman, hanya terdapat sebuah manhaj(jalan) yang membawa kepada keuntungan dan kejayaan. Namun apa yang dikesali adalah manusia samada disebabkan kejahilan ataupun keangkuhan, dengan sia-sianya menolak manhaj ini akibat daripada kegagalan memahami hakikat kejayaan dan kerugian yang sebenar (sebagaimana yang digariskan oleh Islam).

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”

(Surah Ali-Imran, Ayat 185)

Siapa yang untung dan siapa yang rugi?

Hakikatnya semua manusia rugi dengan bukti ‘Alif’ dan ‘Lam’ di dalam perkataan الإنسان memberi makna lafaz ini umum untuk semua manusia. Mereka yang beruntung pula hanyalah golongan yang memiliki empat syarat yang mengecualikan mereka dari kerugian tersebut; beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran.

Apa kaitan antara keempat-empat perkara ini ?

Iman kepada Allah s.w.t dan menolak penyembahan kepada selain dari-Nya, Iman yang mengeluarkan manusia daripada tunduk kepada manusia lain. Iman yang menghapuskan tunduk dan patuh kepada syahwat dan hawa nafsu, lahir daripadanya segala amalan yang soleh yang merupakan buah yang dituai daripada Iman yang tertanam di dalam jiwa. Dan diantara keperluan iman juga adalah berpesan dengan kebenaran sebagai senjata untuk berhadapan dengan hawa nafsu, persekitaran yang tidak baik, serta kefasadan dan fitnah kejahatan yang melanda dunia ini. Mereka(golongan yang beruntung) saling berpesan dan saling menguat antara satu sama lain dalam memikul amanah ini demi memelihara kelompok ini daripada turut terjerumus ke dalam lembah kerugian.

Inilah hakikat dan tugas umat Islam secara ringkas sebagaimana yang difahami daripada ayat.

Adapun golongan yang rugi, mereka hidup di dunia ini tanpa mengenali Penciptanya(iman), hanyut dipandu oleh syahwat dan keinginan yang jahat, menyangka hidup semata-mata hanya di dunia lalu dia mengamalkan rutin harian yang sama; makan, minum berseronok yang tiada bezanya dengan seekor haiwan!

“Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.”

(Surah Muhammad, Ayat 12)

“Masa adalah kehidupan”-Al-Banna

Baik kiranya jika kita kembali semula ke pangkal. Demi masa. Itulah modal yang dikurniakan sama rata kepada seluruh umat manusia. Perkara paling berharga yang dimiliki oleh seorang insan sebagai modal dalam menjual kehidupannya. Kemana seluruh modal ini dihabiskan akan menentukan keuntungan atau kerugian yang diperolehi kelak.
Golongan yang memahami hakikat sebenar kehidupan di dunia tidak akan berlumba mengejar apa yang telah ditetapkan sejak kelahirannya di muka bumi ini; rezeki, jodoh, nasibnya samada baik ataupun buruk. Apa yang terkandung di dalam benaknya saban hari merupakan apa yang telah dia habiskan, dan apa yang mesti dilaksanakan dengan umur yang berbaki daripada amalan-amalan soleh demi menjadi bukti dan hujah untuk dirinya di hari akhirat, hari pembalasan antara dia dan akhiratnya.

Disana -dengan rahmat Allah s.w.t- mereka tidak akan menyesal sebagaimana golongan rugi menyesali kehidupan mereka di dunia:

Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.

(Surah An-Naba’, Ayat 40)

Sebuah penyesalan terhadap seribu macam keseronokan yang menipu, sehingga muncul sebuah harapan; sekiranya dahulu aku adalah sebutir debu!

Ambillah nasihat daripada Baginda s.a.w tentang dua nikmat yang sering dilupakan:

“Daripada Ibnu Abbas r.a, dia berkata: Nabi s.a.w bersabda :Dua nikmat yang kebanyakan manusia sering tertipu dan lalai padanya, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.”

(Hadith riwayat Bukhari)

“Inilah perlembagaan kami”

Inilah antara intipati yang difahami oleh para sahabat r.a daripada surah Al-Asr, sehingga diriwayatkan apabila dua orang sahabat Ar-Rasul bertemu, mereka tidak akan berpisah sehinggalah salah seorang daripada mereka membacakan surah Al-Asr kemudian keduanya atau mereka bersalaman antara satu sama lain. Inilah jalan yang satu iaitu bepegang kepada keimanan dan amal soleh serta berpesan dengan kebenaran dan kesabaran demi mengaut kentungan hakiki dalam perlumbaan kehidupan.

Wallahua’lam.

Rujukan :

  1. Tafsir Fi Zilal- Sayyid Qutb
  2. Bulughul Qasr Fi Tafsir Surah Al-Asr- Dr Ahmad Ramadhan Mustofa Diib
  3. Sahih Bukhari

 

Ustaz Izzat bin Husman,
Pengerusi MUIS-Mesir,
Tahun 4, Jabatan Tafsir Fakulti Usuluddin,
Universiti Al-Azhar.

Be the first to comment

Leave a Reply