Hakimiah Islam, Teokrasi Barat dan Wilayatul Faqih

Konsep ‘Negara Agama’ di Barat

Sejarah barat telah mempertontonkan kepada kita realiti pertumpahan darah dan perbalahan antara masyarakat marhaen melawan kekuasaan gereja yang kemudiannya membawa kepada revolusi zaman pertengahan yang menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat di barat. Penentangan ini antara lain ialah suatu protes dan juga tindak balas agresif masyarakat pada ketika itu terhadap teokrasi gereja yang melakukan penindasan dan kezaliman atas nama ‘kebenaran tuhan’ dan juga ‘wakil tuhan’. Pendeta agama ataupun ‘rijalud din’ pada ketika itu berdiri bersama-sama orang yang jahil dan jumud untuk menghalangi perkembangan akal dan ilmu pengetahuan melalui pemenjaraan nafsu dan pemikiran. Golongan raja dan juga bangsawan pula menggunakan autoriti dan juga pengaruh ‘rijalud din’ sebagai lesen untuk menghalalkan tindakan mereka memeras dan mengugut golongan marhaen dan merompak kelompok miskin. Apabila berlakunya cubaan kebangkitan dikalangan marhaen maka para pendeta akan mula berfalsafah dengan falsafah ketuhanan untuk mendoktrin mereka menjadi manusia yang redha dengan realiti dan tunduk dengan takdir.

Kekeliruan dan penyelewengan yang melatari tempoh zaman tersebut kemudiannya melahirkan arus pembebasan agama ataupun sekularisme kurun ke-17 bagi mendepani kemaraan dominasi gereja dan ‘rijalud din’. Kewujudan ‘rijalud din’ sebagai wakil tuhan dirasakan seolah-olah mencekik kelompok majoriti, agama pula dirasakan sebagai doktrin gereja untuk memundurkan mereka ke belakang dan menyekat kemajuan. Maka lahirlah konsep ‘tiada agama dalam kerajaan dan tiada kerajaan di dalam agama’ atau lebih dikenali sebagai sekularisme ataupun dikotomi agama dan kerajaan.

Kekeliruan Pemikir Sekular Muslim

Hakikat Islam sebagai manhaj samawi yang bersifat rabbani telah menafikan dominasi rijaluddin ataupun pemimpin agama yang meletakkan kuasa monopoli mutlak untuk menentukan halal dan haram menggunakan label sakral wakil tuhan. Amat janggal bagi kita apabila wujudnya dikalangan pemikir muslim yang menyamakan konsep pemerintahan Islam dengan pengamalan ‘Negara agama’ di barat.

Dr. Faraj Faudah seorang pemikir arab sekular melalui salah sebuah karangannya Qabla As-Suqut(sebelum keruntuhan) menyebut:

“…Pelaksanaan syariat islam tidak dapat dipisahkan dengan konsep Negara agama, dan Negara agama seringkali memerintah atas nama ‘kebenaran tuhan’. Pemerintahan atas nama ‘kebenaran tuhan’ seperti itu, secara langsung atau tidak didominasi oleh pemimpin agama seperti yang berlaku di barat zaman pertengahan.”

Syibli Al-‘Asyami pula menulis sebuah buku berjudul Al ‘Ilmaniyah Wa Ad-Dawlah Ad-Diniyah(sekularisme dan Negara agama). Beliau menyebut di dalamnya:

“…Negara agama ialah Negara yang didominasi oleh pemimpin agama(rijalud din). Pemimpin agama ini menyebarkan anggapan bahawa mereka memiliki sifat ma’sum dan suci. Apa yang mereka halalkan dan haramkan di bumi maka itulah yang dihalalkan dan diharamkan di langit. Tiada yang berhak mengatakan kepada mereka: kamu silap atau kamu salah”

Konsep hakimiah di sisi Al-Mawdudi dan Sayyid Qutb

Hakikat Negara Islam sebenar yang perlu kita fahami ialah merupakan sebuah Negara sivil yang berdiri di atas prinsip pemilihan, baiat dan syura. Pemimpin yang dipilih dan dibaiat bertanggungjawab menjamin kemaslahatan rakyat yang dipayunginya, manakala rakyat pula bertanggungjawab untuk meluruskan pemimpin apabila berlakunya percanggahan dengan syariat.

Konsep hakimiah yang difahami oleh Syed Qutb dan Al-Mawdudi secara jelas meletakkan kuasa pensyariatan dan juga tahkim sepenuhnya kepada al-khalik(pencipta),serta menafikan dominasi kelompok yang mendakwa kebenaran atas label sakral wakil tuhan.

Syed Qutb di dalam makalah Maalim fit-Tariq menyebut:

“…Kerajaan Allah di atas muka bumi tidak ditegakkan di atas dominasi kekuasaan pemimpin agama atau orang-orang yang berbicara atas nama tuhan. Yang dimaksudkan dengan kerajaan Allah di muka bumi ialah kerajaan yang menjadikan syariat Allah sebagai dasar hukum.”

Al-Mawdudi pula menyifatkan konsep pemerintahan yang dianjurkan oleh Islam sebagai sistem ‘teokrasi demokratik’ di mana setiap individu muslim bertanggungjawab menentukan pilihan pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab menjaga maslahah umum dan juga agama. Tugas memahamkan teks undang-undang syariah pula tidak wajar untuk dimonopoli oleh kelompok manusia tertentu, sebaliknya tugas tersebut dilaksanakan oleh setiap individu muslim yang telah mencapai taraf mujtahid dalam pemahaman agamanya. Konsep teokrasi demokratik ini juga boleh disifatkan sebagai ‘pemerintahan rakyat bersifat terhad’dimana segala polisi dan juga pengimplimentasian undang-undang hendaklah bersumberkan nas-nas samawiyah(al-Quran dan Sunnah).

Walaupun Al-Mawdudi menggunakan istilah ‘teokrasi’ dalam menyifatkan konsep pentadbiran Islam, namun beliau menafikan persamaannya dengan konsep negara gereja zaman pertengahan. Gelaran pemimpin di dalam Islam bukanlah sebagai mengambil alih peranan Tuhan dalam menetapkan hukum seperti yang dilakukan oleh barat , sebaliknya mereka disifatkan sebagai wakil yang dipilih oleh masyarakat Islam atas dasar amanah dan juga kepercayaan untuk melaksanakan hak-hak Allah melalui kuasa prerogatif yang dimandatkan. Jika sekiranya hak pemerintah dan hak Allah bercanggah maka tentu sahaja hak Allah yang mesti dahulu ditunaikan,kerana tidak ada ketaatan terhadap makhluk dalam kederhakaan kepada Al-Khalik(pencipta).

Di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar r.a nabi s.a.w bersabda:

“Kepatuhan dan ketaatan adalah hak setiap muslim, samada dalam keadaan redha ataupun benci selagimana dia tidak diperintahkan  untuk berbuat maksiat. Jika dia diperintahkan untuk berbuat maksiat maka hilanglah ketaatan dan kepatuhan itu.” (Muttafaqun alaih)

Wilayatul Faqih(syiah)

Sebahagian orientalis pula berhujah berdasarkan  konsep wilayatul faqih di Iran sebagai  menyokong dakwaan pengamalan teokrasi di dalam Islam. Seorang pengkaji yang jujur tentunya akan menyedari bahawa konsep kekuasaan ‘Ayatullah’ ataupun ‘Mullah’ di Iran bukanlah hujah yang kukuh dalam perbahasan mencari persamaan antara Islam tulen dengan  teokrasi Barat. Negara syiah Iran bukan sahaja tidak mewakili majoriti muslim dunia yang berakidah sunni, bahkan asas dan juga akidah pegangan kelompok ini jelas sekali menyeleweng dan tidak menggambarkan Islam yang sebenar.

Perbezaan dan juga perbandingan antara sunni dan juga syiah dalam perbahasan ‘hakimiyah’ dapat diperhatikan daripada beberapa sudut pandang:

  •           Syiah menjadikan isu kepimpinan sebagai sebahagian daripada permasalahn akidah yang asas, manakala Ahlus Sunnah meletakkannya sebagai sebahagian daripada permasalahan furu’(cabang)
  •           Kepimpinan bagi mereka ditentukan melalui nas(teks agama) yang telah diselewengkan, manakala Ahlus Sunnah menentukan kepimpinan melalui pemilihan dan juga pembaiatan.
  •           Seorang pemimpin di sisi mereka adalah bersifat ma’sum dan terpelihara daripada melakukan sebarang kesilapan, manakala pemimpin di sisi Ahlus Sunnah adalah manusia biasa yang memungkinkan ijtihad mereka benar ataupun salah.
  •           Darjat seorang imam di sisi mereka adalah sangat tinggi sehinggakan seorang malaikat ataupun nabi tidak akan dapat mencapainya. Manakala darjat seorang pemimpin di sisi kita tercermin dalam pengucapan Abu Bakar As-Siddiq: “aku telah dilantik untuk memimpin kamu semua,namun tidak bererti aku manusia yang paling baik di antara kalian”
  •           Pemimpin yang telah dilantik di sisi syiah tidak boleh di turunkan daripada jawatannya dengan apa cara sekalipun, sedangkan di sisi Ahlus Sunnah seseorang pemimpin itu boleh diturunkan daripada kekuasaan sekiranya hilang syarat-syarat yang melayakkannya

kesimpulan

Manhaj islam yang bersumberkan kepada nas samawi secara jelas menolak konsep teokrasi yang meletakkan nama kebenaran atas label sakral wakil tuhan mahupun pendeta agama. Cubaan menyamakan konsep hukumiyah Islam dengan teokrasi barat hakikatnya merupakan suatu usaha halus untuk mendoktrin masyarakat Islam menerima konsep sekularisasi disamping bertujuan menghilangkan autoriti agamawan dan juga kuasa prerogatif institusi Islam dengan menyifatkannya sebagai monarki ataupun diktator.

Sayangnya ramai dikalangan umat Islam yang terpengaruh dengan dakyah tersebut kemudiannya cuba mengkaitkan Islam dengan pengamalan teokrasi mungkar itu, meskipun dasar yang mengakari sistem itu tumbuhnya daripada barat sendiri. Hakikatnya sejarah merekodkan bahawa kemunculan sinar Islam di zaman kegelapan Eropah telah menerangi kejumudan barat, serta membuka satu dimensi baru kepada ketamadunan dunia keseluruhannya.

Ustaz Muhammad Abduh menegaskan dalam ucapannya: “antara cara yang digunakan oleh Islam untuk mengukuhkan institusi keilmuan dan kedaulatan rakyat ialah dengan meruntuhkan kekuasaan Negara teokrasi, bukan mendirikan dan menguatkannya!”

 

Rujukan

  1. –          al-quran al-karim
  2. –          fikh daulah: yusuf al-qardhawi
  3. –          at-tatraf al-‘ilmaniy fi muwajahatil Islam: Yusof Al-Qardhawi
  4. –          at-taiyarat al-fikriyah qadimah wal muassarah

 

AHMAD ZAKI MURSYID BIN AHMAD SHAIRAZI

KULIAH USULUDDIN TAHUN3, KAHERAH

Be the first to comment

Leave a Reply