Memahami Realiti Pertembungan di Timur Tengah.

Konflik dan realiti yang berlaku di Timur Tengah semangnya kompleks dan sukar untuk difahami, namun sebetulnya ianya menjadi lebih mudah untuk difahami sekiranya kita memahami tabiat pertembungan yang diajarkan oleh al-quran. Pertembungan di dunia secara kasarnya boleh dilihat sebagai pertarungan dua pihak, iaitu yang haq dan yang batil.

Dan memang tabiat dalam kebatilan sendiri pun mereka sendiri berpecah belah,maka kerana itu kita melihat seolah-olah kebatilan itu terbahagi kepada kelompok-kelompok yang memegang panji berbeza-beza. Kadang-kala perpecahan mereka memanfaatkan kita, terutama semasa kita mempunyai kekuatan ketika suasana perpecahan tersebut. Dalam jarang-jarang itu pun hanya sebahagiannya kita dapat eksploitasi secara maksima, sebahagian hanya dapat dimanfaatkan secara minima untuk menyelamatkan diri dan mengurangkan dharurat sahaja.

Tetapi dalam kebanyakan masa, perpecahan mereka tidak pernah melembutkan hati mereka pun terhadap kita(untuk apa mahu lembut hati?), apatah lagi bila kita tiada apa-apa.

Ini adalah tabiat politik dan telah dibuktikan secara berulang kali oleh sejarah. Sejarah yang panjang, yang dilupakan.

Zaman pembukaan Andalus, zaman al-Qanuni, contoh kita dapat memanfaatkan perpecahan dengan efektif. Zaman Abdul Hamid 2 kita dapat manfaatkan secara minima. (Banyak lagi contoh kecil lain)

Tetapi hakikat pergaduhan mereka pada zaman Abdul Hamid 2, atau penghujung Uthmaniah, semua orang tahu.

Amerika, Belanda, Perancis, Itali, British, Russia, Jerman, Austria, Hunggary, mereka dilihat pecah-pecah, saling bersaing atau bertembung di antara mereka. (?)

Apa yang mereka gaduhkan?

Mereka gaduh siapa paling banyak “bahagian” dalam negara islam. Mereka bergaduh kerana tidak mahu berkongsi bahagian keuntungan yang mereka dapat daripada harta dan tanah umat islam. Mereka berebut untuk mendapatkan bumi dan kekayaan umat islam.

Seolah olah tanah dan harta umat islam terpampang tersedia untuk mereka ambil bila-bila masa yang mereka suka.

Amatlah menghairankan jika kita, dalam mengkaji mereka, tiba-tiba kita cuba menilai mereka, siapakah paling baik dan paling ikhlas di kalangan mereka dalam mencerobohi dunia islam, supaya kita mengalu-alukan penguasaan mereka ke atas kita.

Adakah kita mengharapkan Jepun membela kita daripada Komunis, atau daripada British? Mereka semua itu datang untuk menjajah kita, mereka saling bergaduh BUKAN kerana salah seorang daripada mereka melihat kita dizalimi lalu nak mempertahankan kita, tetapi mereka bergaduh kerana cemburu penjajah lain mendapatkan bahagian yang lebih banyak daripada kita lalu mereka pun bercakaran sesama sendiri.

Kita hanyalah makanan mereka.

Tidakkah kita tahu bagaimana pelajar asrama makan makanan yang enak di dalam dulang, bagaimana mereka “bersaing” untuk dapatkan bahagian paling banyak supaya tidak didahului oleh rakannya yang lain?

Aduhai celaka sang makanan, mengandaikan dia boleh diselamatkan dari kebuasan penjajah dengan “kebaikan” penjajah yang lain.

Adakah dia mengharapkan buaya mempertahankan dirinya daripada singa? Geopolitik? Huh!

Geopolitik apanya, kalau tugas kau hanya pilih nak masuk mulut yang mana satu.

Memahami pertembungan dan tipudaya adalah supaya kau boleh lepas daripada kedua-dua (atau mana-mana) pihak dan berdiri merdeka serta berdaulat, mampu menentukan masa depan kau sendiri dengan megah dan terhormat.

Itu baru Islam.

Bukan isu wahabi. Bukan sufi. Bukan haraki.

Ia adalah “Tiada Tuhan Selain Allah”.

* * * * * * * *

Ketinggian, dan Berlepas Diri.

ولقد بعثنا في كل أمة رسولا أن اعبدوا الله واجتنبوا الطاغوت

“Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.”

(Surah An-Nahl, ayat 36)

 

Ustaz Zaid Bin Zainur Rashid
Ahli Lajnah Politik dan Sejarah Islam
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar, Mesir.

Be the first to comment

Leave a Reply