Ramadhan bulan perjuangan

Alhamdulillah sekali lagi Allah pertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang mana bulan yang penuh dengan pelbagai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t untuk hambaNya. Dimana pada bulan Ramadhan pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Kemudian,Allah menambah rahmatNya lagi dengan menghalang syaitan dari mengganggu dan menyesatkan manusia dari ingat Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Apabila datangnya bulan Ramadhan, dibuka pintu rahmat, dan ditutup pintu jahannam dan digari syaitan” [HR Bukhari & Muslim]

Istimewanya bulan Ramadhan kerana umat Islam di wajibkan untuk melakukan ibadah puasa yang mana ibadah puasa ini dinilai sendiri oleh Allah s.w.t. Tidak ada siapa yang mengetahui nilai dan ganjaran seseorang yang berpuasa melainkan Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda :

“Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Setiap amalan anak adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya…” [HR Muslim]

Maqasid(tujuan) puasa sepertimana yang terdapat di dalam Al-Quran adalah taqwa. Firman Allah s.w.t :

“Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa” [Al-Baqarah : 183]

Sebahagian ulama mendefinisikan taqwa dengan :

جعل الحاجز بينك وبين عذاب الله

“kamu menjadikan penghadang diantara diri kamu dan azab Allah”

Taqwa dan jihad

Allah berfirman :

“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah s.w.t  dan carilah jalan-jalan yang dapat mencapai taqwa, dan berjihadlah di jalan Allah moga-moga kamu beroleh keuntungan” [Al-Maidah : 35]

Arahan yang Allah berikan selepas bertaqwa adalah berjihad di jalan Allah. Ini menunjukkan kesan dari taqwa itu menjadikan seorang muslim itu akan bersungguh dan berjihad di jalan Allah. Di dalam tafsir At-Tobari perkataan jihad di dalam ayat tersebut membawa maksud berhadapan dengan musuh Allah dan meninggikan agama Islam di atas muka bumi ini. Menurut Dr Yusof Al-Qardhawi ketenteraan adalah disiplin dan latihan, tetapi jihad adalah iman, akhlak, jiwa dan pengorbanan di samping disiplin dan latihan

Bila kita perhatikan semula kisah peperangan yang berlaku di dalambulan Ramadhan iaitu Badar Al-Kubro kita akan dapati contoh yang hidup dan praktikal bagi ayat tersebut. Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke 2H telah mengangkat kemuliaan dan kedudukan Islam dari sebelumnya. Ia juga telah membawa perubahan yang besar terhadap umat Islam pada ketika itu. Allah berfirman :

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berada dalam keadaan lemah…” [Ali-Imran :123]

Pada asalnya kaum muslimin berada dalam keadaan lemah kerana ditindas di Mekah dan bilangan mereka yang sedikit. Kemudian Allah angkat kedudukan mereka kerana ketaqwaan dan keimanan yang ada dalam hati mereka dengan memberi kemenangan di dalam peperangan Badar. Seolah-olah Allah datangkan Ramadhan untuk mengangkat kedudukan dan kemuliaan umat Islam setelah mereka bersungguh mendapatkan taqwa dengan berpuasa. Ini menunjukkan bulan Ramadhan merupakan bulan perjuangan dan jihad serta pertolongan dan kemenangan.

Antara ciri dan sifat yang ada pada kaum muslimin pada ketika ini yang dengan ciri-ciri inilah Allah datangkan kemenangan besar buat kaum muslimin :

1. Thabat (berpegang teguh dengan janjinya)

Ciri ini nampak dengan jelas pada ketika Rasulullah s.a.w melakukan mesyuarat tergempar bagi membuat keputusan samada ingin meneruskan peperangan atau bertahan di Madinah.

Bagi pasukan Muhajirin, mereka dengan pantasnya menyambut seruan tersebut atas beberapa faktor. Antaranya, sebelum berlakunya peperangan badar mereka telah pun beberapa kali melakukan risikan terhadap pergerakan kaum Quraisy. Jadi, mereka menyambut seruan tersebut dalam keadaan yang bersedia. Tambahan pula, mereka telah ditarbiyyah oleh nabi s.a.w selama 13 tahun di Mekah.

Adapun pasukan Ansar, mereka mendapat sentuhan tarbiyyah dari nabi hanya beberapa tahun sahaja. Tetapi mereka telah membenarkan janji dengan menyahut seruan nabi s.a.w untuk turut berperang. Berkata Sa’ad bin Muadz ketika Rasulullah meminta pendapat kaum Ansar dalam perang Badar :

“Sebenarnya kami telah beriman dengan kau ya Rasulullah, kami membenarkan kau, kami bersaksi bahawa apa yang kau bawa itu adalah benar, kami telah berjanji untuk mendengar dan mentaati engkau, ayuh teruskan wahai Rasulullah untuk mencapai sesuatu yang engkau kehendaki, demi tuhan yang mengutuskanmu dengan kebenaran, seandainya engkau membawa kami mengharungi lautan nescaya kami harungi…”

Akhirnya, dengan kesetian dan berpegang teguh dengan janji inilah Allah datangkan kemenangan kepada pasukan muslimin.

2. Taat Allah dan rasul

Hakikatnya pertolongan Allah datang dengan ketaatan kepadaNya dan pesuruhNya. Selagimana umat ini berterusan dalam ketaatan dan meninggalkan maksiat kepadaNya, maka pertolongan Allah akan sentiasa menaungi umat ini. Ini merupakan sunnatullah yang perlu difahami oleh seluruh umat Islam.

Allah berfirman :

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia itu sendiri…” [Rum : 41]

Sebahagian ulama menafsirkan kefasadan (kerosakan) itu adalah dosa-dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia samada dalam bentuk meninggalkan kewajipan atau melanggar laranganNya.

3. Sabar

Ciri ini merupakan ciri yang terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Sabar dengan erti kata yang luas bukan sekadar bersabar ketika marah semata. Tetapi sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam menghadapi ujian susah dan senang, sabar dalam melakukan ibadah, sabar dari menurut kehendak nafsu, dan sabar dalam berhadapan dengan musuh.

Kaum Muslimin di Mekah ketika mendapat perintah untuk berhijrah ke Madinah terbahagi kepada dua kelompok : kelompok yang menyahut perintah nabi s.a.w dan terus melakukan hijrah dengan segera dan kelompok yang berasa berat untuk melaksanakan perintah tersebut kerana tidak sanggup meninggalkan anak dan isteri serta harta mereka. Akhirnya kelompok yang tidak berhijrah itu menyertai pasukan Abu Jahal dan mati di dalam kekufuran sedangkan ketika di Mekah mereka telah beriman dengan nabi s.a.w selama 13 tahun lamanya. Tetapi kerana tiada pengorbanan dan kesabaran dalam mentaati perintah Rasul, akhirnya mereka mati dalam kekufuran.

Bukanlah iman dan taqwa itu tersembunyi di dasar hati semata. Tetapi mestilah dibuktikan dengan pengorbanan dan kesabaran dalam mempertahankan iman dan agama ini.

Allah berfirman :

“…dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka(musuh) tidak akan membahayakan kamu..” [Ali Imran : 120]

4. Ikhlas di dalam berjuang

Dari Abu Musa Asyaari r.a : telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata : “Seorang lelaki berperang untuk mendapat harta rampasan, seorang lagi lelaki berperang untuk namanya disebut, seorang lelaki lagi berperang untuk mengangkat martabatnya. Antara mereka, yang mana berperang di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w bersabda : “barangsiapa yang berperang untuk mengangkat kalimah Allah maka dialah yang berperang di jalan Allah” [HR Bukhari & Muslim]

Ikhlas merupakan kunci kepada semua ciri-ciri diatas. Kerana dengan ikhlas dan membulatkan niat kerana Allah seorang muslim itu akan berusaha sedaya upaya untuk mencari asbab-asbab untuk mendapatkan redha Allah.

Kesimpulannya, bulan Ramadhan merupakan bulan perubahan. Bermula dari perubahan individu hingga kepada perubahan umat. Allah berfirman :

” Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka” [Ar-Ra’d : 11] Sunnatullah keatas umat ini akan terus berjalan selagimana umat ini melengkapi ciri-ciri yang ditunjukkan oleh ahli Badar.

 

Wallhu a’lam

 

Rujukan :

  1. Seerah nabawiyah manhaj tarbiyah jihadiyah –dr. Munir Ghadban
  2. Tarbiyah islamiyah madrasah Hassan Al-Banna
  3. Tafseer Thobari

 

Disediakan oleh :
Lajnah Sejarah dan Ketamadunan Islam.

Be the first to comment

Leave a Reply