Relevansasi Pengamalan Talfiq Di Malaysia.

Pendahuluan

Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang berdaulat dan merdeka. Islam menjadi antara tunjang kewujudannya disamping bangsa Melayu dan institusi diraja. Masyarakatnya yang beragama Islam, majoritinya berbangsa Melayu telah lama mengamalkan nilai-nilai Islam serta mematuhi hukum-hukumnya. Mazhab Syafie menjadi mazhab anutan penganut agama Islam dinegara ini, dan mereka sangat berpegang teguh dengan mazhab ini. Namun dasawarsa ini muncul pendapat yang mengutarakan mengenai ketidakperluan berpegang dengan satu mazhab semata-mata bahkan harus untuk memilih mana-mana pendapat daripada mazhab-mazhab yang muktabar. Ini membawa kepada persoalan sama ada perbuatan ini dibenarkan dan apakah relevansasi pengamalannya di Malaysia?

 

Definisi Talfiq

 Talfiq merupakan perkataan bahasa arab yang terbit daripada kata dasar لفق يلفق تلفيق yang bermaksud mencantumkan diantara beberapa perkara dan menyesuaikan diantaranya untuk dijadikan sesuatu perkara. Manakala definisi secara istilah adalah mengumpulkan bahagian-bahagian hukum dalam satu permasalahan yang sama dengan cara yang tidak pernah disebut oleh mazhab-mazhab tersebut. Daripada definisi ini jelas bahawa talfiq merupakan perbuatan menggabungkan pendapat-pendapat daripada pelbagai mazhab dalam satu masa dan permasalahan yang sama, yang membentuk satu gabungan yang tidak pernah disebut oleh mazhab-mazhab tersebut, kerana satu mazhab menyebut tentang satu bahagian dan mazhab lain menyebut bahagian yang lain tanpa mencampurkan antara kedua-duanya. Adapun dalam bahasa yang lebih mudah lagi, talfiq adalah campur mazhab.

 

Hukum Talfiq

             Para ulama telah berselisih pandangan mengenai perkara ini, sebahagian mengharamkannya secara mutlak manakala sebahagian lagi mengharuskan pengamalannya tetapi dengan beberapa syarat. Pendapat yang terpilih adalah pandangan yang kedua berdasarkan beberapa hujah:

1)     Taqlid adalah keringanan bagi muqollid dan mereka tidak diwajibkan untuk mengikut pendapat satu mazhab sahaja, bahkan dibolehkan untuk mereka mengikut fatwa-fatwa yang dikeluarkan mufti yang pelbagai pada satu-satu masalah. Tambahan pula tiada beza antara mengikut mazhab dalam pelbagai permasalahan hukum yang berbeza dengan mengikut mazhab yang pelbagai dalam satu permasalahan hukum yang sama kerana fiqh itu terbina atas dasar “الظن” iaitu sangkaan. Setiap ijtihad mengenai hukum yang dikeluarkan boleh jadi tepat dengan yang dikehendaki Allah atau mungkin juga tidak tepat, namun tetap diterima. Dalam setiap perbahasan mazhab mengandungi pelbagai ijtihad mengenai hukum yang kita tidak ketahui pandangan mana yang paling tepat, maka tidak menjadi masalah untuk kita memilih pandangan yang dirasakan tepat.

2)     Dibolehkan kepada mufti muqollid memilih pandangan yang berbeza dengan pandangan mazhabnya, jika dirasakan pandangan itu lebih membawa maslahah dan sesuai diamalkan. Maka tidak ada beza diantara mufti itu meninggalkan pandangan mazhabnya dalam satu masalah dengan dia meninggalkan pandangan mazhabnya dalam sebahagian syarat-syarat dalam masalah itu dan ketetapan-ketepannya.

3)     Tidak pernah ada sahabat, tabiin atau ulama yang menyeru kepada para pengikutnya agar tetap berpegang dengan pandangannya semata-mata.

4)     Seandainya talfiq tidak dibenarkan, ini akan merosakkan ibadah orang awam, kerana dalam melasankan ibadah, sukar untuk memastikan kita benar-benar mengikut kaedah yang ditetapkan oleh mazhab tersebut terkadang kita terlakukan perkara yang pada pandangan mazhab ini membatalkan perbuatan tetapi tidak membatalkan pada pandangan mazhab lain.

5)     Menafikan keharusan talfiq bermakna menafikan prinsip kemudahan dan kemenyeluruhan ajaran Islam.

 

Memurnikan Antara Keharusan Syarak Dan Kefahaman  Serta Budaya Masyarakat

Sebagaimana yang telah diterangkan tadi, jelas bagi kita mengenai situasi pengamalan fiqh di Malaysia dimana masyarakat Islamnya mengamalkan taqlid mazhab, iaitu dengan mengamalkan Mazhab Syafie. Namun tidak dinafikan terdapat beberapa permasalahan yang tidak sesuai dan mungkin menimbulkan kesusahan seandainya menggunakan pendapat Mazhab Syafie, maka ketika ini diharuskan untuk bertalfiq demi menjaga maslahah dan menghilangkan kesusahan terhadap umat Islam. Permasalahan talfiq ini merupakan khilaf para fuqaha’ dimana pandangan yang kuat dan terpilih adalah pandangan yang mengharuskannya dengan bersyarat. Namun untuk mengamalkannya  memerlukan kepada penelitian terhadap kesesuaiannya dengan kefahaman dan budaya masyarakat Islam disini. Justeru keharusan bertalfiq tidaklah membawa maksud ruang untuk bertalfiq dibuka luas dan bebas tanpa garis panduan pelaksanaanya, Hal ini telahpun ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Ketetapan tersebut antaranya:

  1.  Secara prinsipnya, Majlis ini mengakui kempat-empat Mazhab Fiqh, kerana golongan Ahl al–Sunnah wa al–Jamaah itu adalah mereka yang berpegang dengan hukum-hukum syarak dengan cara mazhab yang empat ini.
  2.  Majlis ini melarang mana-mana pertubuhan agama dari mewartakan kebebasannya dari mana-mana mazhab, dan ideologi ini perlu dibetulkan untuk mengelakkan pertelingkahan sesama manusia.
  3.  Majlis Fatwa Kebangsaan bersetuju mengambil Mazhab Syafie sebagai asas dalam memilih fatwa-fatwa dan hukum-hakum, dan mazhab ini haruslah didahulukan daripada mazhab-mazhab lain.
  4.  Majlis telah bersetuju bahawa pelaksanaan undang-undang Islam mestilah mengikut Mazhab Syafie, tetapi sekiranya hukum didalam mazhab ini tidak menepati masalah umum semasa maka dibolehkan mengambil mana-mana mazhab dari mazhab yang tiga itu.

Disamping ketetapan yang telah ditetapkan tersebut, beberapa perkara harus diambil perhatian dan dijaga iaitu:

1)     Pengamalan Mazhab Syafie telah sebati dan diterima oleh masyarakat, maka seharusnya kita mengekalkannya sedemikian rupa.

2)     Permasalahan khilaf tidak perlu diarus perdanakan kerana hanya akan menimbulkan kecelaruan dan kesusahan kepada masyarakat umum.

3)     Tidak salah untuk bertalfiq bagi mereka yang mempunyai kemampuan dan kemahiran, namun cukup sekadar pengamalan peribadi.

4)     Bagi masyarakat Islam umum dinegara ini tidak dianjurkan untuk bertalfiq sebaliknya mengikut ketetapan hukum-hakam yang telah diputuskan oleh pihak agama berautoriti dinegara ini seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

 

Kesimpulan

             Masyarakat Islam di Malaysia tidak perlu risau dan mempertikaikan pengamalan fiqh mereka dan kesahihan ibadah dan muamalah mereka kerana semuanya dalam pemantauan pihak agama berautoriti di negara. Manakala golongan yang berilmu dan mahir dalam agama tidak patut mendoktrinkan fahaman talfiq dalam masyarakat, cukup sekadar dengan pengamalan peribadi. Kita tidak nafikan disana terdapat kepentingan bertalfiq namun disana juga adanya ruang-ruang yang patut ditutup kerana boleh membawa kepada kemudaratan seperti memilih pandangan mengikut hawa nafsu dan kepentingan peribadi. Maka ikutlah garis panduan yang telah ditetapkan, jangan cuba diganggu sebaliknya dipelihara bersama-sama demi kesejahteraan semua.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan :

1. التلفيق بين المذاهب الفقهية

www.dar-alifta.org

2. Talfiq: Sejauhmana Pengamalannya Di Malaysia,

Kertas Kerja yang dibentangkan di “Seminar Pemahaman Empat Mazhab” anjuran Jabatan Agama Islam Perak.

Mustafa Shamsuddin

3. Hukum talfiq dalam muamalat : kajian terhadap Bay’ Al-Murabahah Li Al-Amir Bi Al-Syira’ di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
Masters thesis, University of Malaya.
Maszlee Malik.(2004)

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply